Hudud: Kesediaan mental penting sebelum ia dilaksanakan

Haider Yutim
Mac 17, 2015 07:49 MYT
Menurut Shamrahayu, kesediaan mental penting apabila hudud ini dilaksanakan.
Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau hudud yang menjadi kontroversi berkenaan perlaksanaannya bakal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.
Namun, persoalannya adakah masyarakat negeri itu bersedia menghadapinya? Bukan setakat itu, cadangan pembentangan enakmen tersebut turut mendapat tentangan daripada sekutu PAS sendiri terutama sekali DAP.
Terbaru pula, Bernama melaporkan, PKR sendiri juga telah menyifatkan bahawa kerajaan PAS Kelantan tidak perlu menyegerakan pelaksanaan hukum itu memandangkan ia bukan lah dasar bersama yang dipersetujui Pakatan Rakyat (PR).
Menurut Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata dasar bersama yang dipersetujui DAP serta PAS adalah berkaitan ekonomi, pendidikan dan keselamatan.
Katanya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pernah menyatakan pendirian sama pada 2010 dahulu.
Meskipun begitu, pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata ianya perlu diselaraskan dengan Perlembagaan, baharulah dibincangkan tentang pelaksanaannya.
"Bagi saya mungkin agak jauh lagi pelaksanaannya sebab kita perlu lihat infrastrukturnya, serta perlu ada mahkamah khusus untuknya," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, Dr Shamrahayu juga menyarankan umat Islam supaya tidak perlu takut pada hukum hudud sekiranya ia dilaksanakan nanti.
Bagaimanapun katanya persediaan mental harus dilakukan serta diambil kira, dan ianya menjadi tanggungjawab kerajaan Kelantan untuk menukar persepsi minda masyarakat negeri itu.
"Kesediaan mental pun penting juga apabila hudud ini hendak dilaksanakan," katanya.
"Bagaimanapun saya bimbang dalam pelaksanaan itu nanti akan mendatangkan fitnah terhadap perundangan Islam," ujar Shamrahayu lagi.
Krisis di antara PAS dan DAP berlaku setelah beberapa pemimpin DAP meminta parti Islam itu mempertimbangkan semula pembentangan pindaan tersebut.
Namun, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Isnin telah pun menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hukum berkenaan di Kelantan.
Perkara tersebut dinyatakan baginda ketika bertitah dalam ucapan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Kelantan ke-13.
Sungguh pun begitu, hari ini merupakan hari yang menentukan sama ada enakmen yang dibentangkan di Kota Bharu itu mendapat sokongan padu anggota DUN.
Sekakat ini, beberapa pemerhati politik menjangkakan bahawa pembentangan tersebut akan diluluskan dengan mudah, tambahan pula ia mendapat perkenan dari Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
#DUN #enakmen #hudud #jenayah syariah #Kelantan #PAS #Shamrahayu Abd Aziz
;