Hudud: 'Kalau agama lain bebas, kenapa agama Islam tak bebas?' - Abdul Hadi

Astro Awani
Mac 20, 2015 22:13 MYT
ABDUL HADI: Islam adalah agama Persekutuan. Kalau agama lain bebas, kenapa agama Islam tak bebas?
PAS akan tetap meneruskan pelaksanaan hudud di Kelantan dan menegaskan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) di negeri itu adalah mengikut saluran demokrasi yang sah di Malaysia.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bantahan beberapa pihak serta kalangan parti dalam Pakatan Rakyat adalah tindakan biasa dan wajar diselesaikan dengan dengan cara berhemah.
Menurutnya, undang-undang berkenaan tidak bercanggah dengan kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini.
"Kerjasama kita dalam Pakatan Rakyat (adalah) kerjasama yang tidak melibatkan dasar-dasar parti. Kita tak sentuh dalam perkara agama mereka (kerana) itu hak mereka. Mereka juga tidak perlu menyentuh hal-hal dalam agama kita sendiri dan perlembagaan sendiri memberi ruang.
"Islam adalah agama Persekutuan. Kalau agama lain bebas, kenapa agama Islam tak bebas?" ujar Abdul Hadi selepas merasmikan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ketiga yang diadakan di Marang, Terengganu membabitkan wakil gerakan Islam dan parti politik Islam dari 41 buah negara.
Menurutnya, langkah kerajaan negeri Kelantan meluluskan pindaan rang undang-undang berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam tidak memudaratkan mana-mana pihak.
Beliau berkata, mereka yang menentang dengan membuta tuli perlu mengkaji secara ilmiah bagi menghapuskan tanggapan serta persepsi negatif.
“Itu satu mesej yang perlu kita sampaikan kepada mereka. Sepatutnya kalau mereka boleh belajar tentang komunisme, kapitalisme dan pragmatisme, mereka boleh belajar tentang Islam.
“Kita bukan nak paksa masuk Islam. Kita pun belajar juga agama mereka. Kita belajar perbandingan agama," tambah beliau.
#Abdul Hadi #Enakmen Kanun Jenayah Syariah #hudud #Kelantan #PAS
;