Hudud: Hos radio BFM terima ugutan bunuh
Astro Awani
Mac 20, 2015 16:45 MYT
Mac 20, 2015 16:45 MYT
Hos stesen radio BFM (88.9FM) berhadapan kritikan termasuk ugutan bunuh setelah video yang seolah mengkritik perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan.
Video bertajuk Hudud isi periuk nasi? [KUPAS] dimuat naik di akaun YouTube milik ‘BFM VDO’ dan menampilkan Aisyah Tajuddin.
“Akhirnya… mimpi PAS nak melaksanakan Hudud di Kelantan datang menjelma,” kata Aishah dalam video tersebut.
Dalam nada menyindir, Aisyah turut mempersoalkan jika agama boleh menyelamatkan penduduk tempatan dari realiti sosio-ekonomi di dalam video tersebut.
“Korang ini dah bertahun bising pasal hudud. Aku pun dah malas nak kupas. Tapi ada satu saya nak tanya, apa jadi dengan nasib mangsa banjir rakyat Kelantan. Tiga bulan sudah dan mereka tidak ada rumah.
“Inilah politik. Agama digunakan untuk menkaburi mata rakyat dari isu yang penting,” katanya.
Video yang dimuat naik pada 19 Mac menerima pelbagai kritikan, termasuk 322 ‘dislikes’ setakat ini.
“Jujur, jumpa depan-depan aku tembak kepala dia,” tulis Khairul Azri.
Pengguna YouTube yang dikenali sebagai ‘Renaissence X’ berharap agar Aisyah dapat mempelajari agama dan mengenali Allah.
“Kamu bercakap macam orang tidak ada agama,” katanya.
Seorang pengguna Twitter, ‘drirfanbabet’ berkata Aishah perlu rujuk kepada Ustaz atau Ustazah sebelum keluar kenyataan seperti itu.
Ada pula warga media sosial yang menyuarakan pemahaman mereka dengan mesej yang cuba dikongi oleh Aisyah.
“Yang saya faham video ni lebih kepada kritik pentadbir (pelaksana) daripada kritik hudud itu sendiri. Dan mengetengahkan isu bahawa sesetengah pemimpin memainkan sentimen agama untuk politik (tidak terhad kepada mana-mana parti),” tulis seorang pengguna Twitter, 'sassydewi'.
‘Metro Genesis’ menyatakan: "ada bahagian yang saya setuju and ada yang saya tidak setuju. Betul apa dia cakap. Berikan keutamaan kepada mangsa banjir dulu. Beri rumah baaru kepada mereka, Baiki infrastruktur yang rosak and beri apa-apa bantuan yang patut dahulu.”
Beberapa jam selepas video tersebut dimuat naik , pihak BFM mengambil keputusan untuk menarik balik penayangan itu.