Hudud: DAP bersetuju pendapat Dr Mahathir
Astro Awani
April 26, 2014 15:47 MYT
April 26, 2014 15:47 MYT
Pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan hukum hudud mendapat sokongan DAP.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kenyataan Dr Mahathir bahawa tidak adil jika adanya hukuman berbeza terhadap orang Islam dan bukan Islam adalah tepat.
Justeru DAP mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak berdolak dalih mengenai isu hudud.
Katanya, Najib tidak seharusnya mengubah pendirian asal UMNO ketika diterajui Dr Mahathir mengenai pelaksanaan hukum hudud.
"Dr Mahathir adalah betul dengan mempertahankan kenyataan bahawa tidak adil adanya hukuman berbeza terhadap Islam dan bukan Islam bagi kesalahan yang sama.
"Sebab itulah Najib tidak patut tersasar daripada pendirian bekas perdana menteri itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, ketika Dr Mahathir menerajui UMNO menolak pelaksanaan hukum hudud malah enggan bertemu pemimpin PAS bagi membincangkan perkara tersebut.
"Bagaimanapun, ia berbeza ketika Najib menjadi perdana menteri, beliau bukan sahaja menukar polisi tersebut, malah secara lantangnya menyatakan keterbukaan untuk berjumpa dengan pemimpin PAS," katanya.
Dalam kenyataannya, Guan Eng turut membidas MCA yang disifatkan tidak berani menentang perubahan polisi dan prinsip UMNO.
"Mengapa MCA tidak mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana menyokong hukum hudud," katanya lagi.
Guan Eng berkata, pendirian DAP mengenai hukum hudud sejajar dengan polisi yang ditetapkan dalam perjanjian bersama Pakatan Rakyat dan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 yang tidak membabitkan pelaksanaan hudud.
"Ia sudah dipersetujui oleh tiga gabungan pakatan, PAS, PKR dan DAP, perjanjian tersebut mesti mencapai kata sepakat tiga parti sebelum polisi PR dimeterai," katanya.
Namun Guan Eng menegaskan biarpun DAP menentang pelaksanaan hukum hudud, ia tidak bermakna kedudukan Pakatan Rakyat sudah berubah.