Hudud: Aisyah, tidak setuju jangan sampai keruhkan hubungan agama - Mahfuz

Wan Syamsul Amly
Mac 23, 2015 17:51 MYT
MAHFUZ: Hudud: Aisyah, tidak setuju jangan sampai keruhkan hubungan agama - Gambar fail
Hos stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin diharap dapat menerima secara positif isu hudud di Kelantan selain melihat sebarang penolakan tidak menjejaskan hubungan agama di negara ini.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata ia merupakan satu kebebasan jika seseorang individu itu menolak hudud namun perlu dibuat dengan sikap murni dan harmoni.
"Sebarang penolakan tidak boleh sampai mengeruhkan hubungan agama di negara kita. Kita mengamalkan demokrasi dan sebarang tindakan tidak boleh menjadikan hubungan sesama kita terjejas.
"Kita harus menjaga hubungan itu dan dan pastikan semua itu tidak membelakangkan agama," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mahfuz diminta mengulas mengenai permohonan maaf Aisyah terhadap klip video yang mempersoalkan hukum hudud yang telah menjadi viral di internet dan menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan orang awam.
Bagaimanapun kata Aisyah, objektif video tersebut adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan PAS Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam.
Dalam pada itu kata Mahfuz, PAS juga sudah meminta pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis untuk menyiasat isu itu dengan segera.
"Kita minta siasatan, tidak cukup dengan permohonan maaf Aisyah sahaja," jelasnya.
Katanya lagi, hudud merupakan keutamaan masyarakat Islam Kelantan dan pihak lain harus menerima dengan positif perkara berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di dalam Tweetnya memaklumkan, pihaknya akan menyiasat individu yang mengugut Aisyah selain stesen radio itu sendiri.
Jelas Khalid, penulis skrip video yang dikatakan mempertikaikan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan juga akan disiasat.
Pada 19 Mac, video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi" telah dimuat naik. Video tersebut menjadi viral dan menyebabkan Aisyah dilaporkan menerima ugutan bunuh dan rogol.
#Aisyah #hudud #Kelantan #Mahfuz #PAS
;