Hubungan rapat Malaysia-Indonesia berpengaruh dalam memastikan ASEAN terus mampan - Penganalisis
Firdaus Azil
Februari 5, 2021 13:40 MYT
Februari 5, 2021 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan bersejarah dan rapat antara Malaysia dan Indonesia, serta pengaruh besar dua negara jiran berkenaan dalam ASEAN, memungkinkan Jakarta dan Putrajaya mengetuai inisiatif yang besar dan penting dalam rantau ini.
Mengambil contoh industri kelapa sawit yang didominasi dua negara itu, Ketua Eksekutif nstitut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Herizal Hazri berkata, Malaysia dan Indonesia boleh memainkan peranan menetapkan standard antarabangsa bagi industri berkenaan.
Ujarnya lagi, langkah itu amat penting bagi memastikan industri berkenaan terus mampan, serta mengurangkan tekanan negara-negara Barat, yang dilihat terancam dengan potensi komoditi berkenaan.
“Malaysia dan Indonesia harus bekerjasama meningkatkan standard pengeluaran minyak kelapa sawit, kerana ianya sangat penting. Sebenarnya kemungkinan apa yang dikatakan Eropah itu bahawa kita mengamalkan buruh paksa adalah salah kerana ia adalah tradisi di rantau ini, dan merupakan sesuatu yang normal.
“Apa yang penting kita harus mempunyai satu standard, dan ia haruslah diterima masyarakat antarabangsa. Selain itu, ia juga bagus untuk melindungi pekerja kita di Asia Tenggara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan mengenai pertemuan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) yang berlangsung hari ini, serta isu-isu penting yang dibincangkan kedua-dua ketua negara itu.
Kerjasama menentang diskriminasi industri minyak sawit..
Pada 2019, Kesatuan Eropah (EU) telah mengambil langkah drasik mengharamkan penggunaan dan import minyak kelapa sawit, serta menghentikan penggunaan komoditi itu untuk penjanaan tenaga menjelang 2030.
Selain menuduh Malaysia dan Indonesia mengamalkan penebangan hutan tanpa kawalan untuk meneruskan penghasilan komoditi itu, beberapa pihak di Barat juga menimbulkan persepsi dua negara tersebut mengamalkan sistem buruh paksa untuk ladang-ladang kelapa sawit.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam penulisannya yang diterbitkan pada Ogos 2019, mendakwa Eropah menghasilkan minyak dari sumber bijian yang jauh lebih tidak efisien, dan menggunakan tanah hutan lebih luas berbanding sawit sehingga diberi amaran oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Konservasi Alam Sekitar.
Mengulas lanjut, Herizal berkata, Malaysia dan Indonesia juga boleh memainkan peranan mengembalikan semula keamanan di Myanmar, yang kini sedang mengalami rampasan kuasa pihak tentera.
Beliau berkata, biarpun secara lazimnya ASEAN tidak mencampuri urusan sesebuah negara peserta, itu tidak bermaksud ia boleh dibiarkan begitu sahaja memandangkan ada kemungkinan situasi itu akan memberi kesan kepada kestabilan dan ekonomi rantau ini.
“Contohnya, kita mungkin sudah lupa dengan proses pendamaian Mindanao, ini konflik sangat besar. Kalau mengguna konsep ASEAN yang tidak mahu campur tangan urusan negara lain, maka Malaysia dan Indonesia tidak akan pernah mencampuri atau mencari jalan sesuai untuk mencapai perdamaian di Mindanao.
“Jadi kita boleh nampak dalam isu yang sangat sukar seperti itu, tetapi kalau negara seperti Malaysia dan Indonesia fokus dan zahirkan inisiatif tertentu, sudah tentu kita boleh mencapai sesuatu yang hampir mustahil,” katanya lagi.
Dengan pengaruh kedua-dua negara berkenaan, Herizal berkata, sudah pasti Malaysia dan Indonesia boleh mengetuai inisiatif menangani wabak COVID-19 serta krisis ekonomi di rantau ini.
Selain itu, Herizal berkata, Malaysia juga perlu melihat kepada usaha Jokowi memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.
Selain cuba mendapatkan sedikit limpahan ekonomi daripada pertukaran ibu negara tersebut, beliau berpandangan, Putrajaya juga perlu berbincang bagaimana ia tidak akan menjejaskan ekosistem hutan belantara yang telah mencapai usia ratusan juta tahun.
Katanya lagi, dengan bantuan pakar dua negara, sudah pasti pembangunan Kalimantan adalah lebih mapan, serta dapat mengelakkan bencana buatan manusia di masa hadapan, terutama sekali mengambil kira Kalimantan terletak besebelahan dengan Sabah dan Sarawak.
#Muhyiddin Yassin
#Joko Widodo
#ASEAN
#Malaysia
#Indonesia
#minyak kelapa sawit
#Myanmar
#Perdana Menteri
#presiden
#MoU
#Putrajaya
#Jakarta
#Mahathir Mohamad
#ISIS
#Herizal Hazri