Hubungan mesra Rohana dan ibu angkat cerminan semangat Keluarga Malaysia

Bernama
Ogos 2, 2022 07:45 MYT
Perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan yang baik dan mesra antara sesama manusia. - Gambar fail/ Bernama
GEORGE TOWN: Hubungan yang begitu mesra antara ibu dengan anak angkat berbeza agama iaitu Chee Hoi Lan, 84, dan Rohana Abdullah, 22, memaparkan suatu situasi unik dan amat bermakna untuk dijadikan bahan renungan semua pihak sebagai menghayati semangat keluarga Malaysia.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata ia membuktikan bahawa perbezaan keturunan dan agama tidak menghalang hubungan yang baik dan mesra antara sesama manusia.
"Saya amat tersentuh membaca berita dan melihat gambar seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) mengesat air mata kerana terpaksa berpisah dengan ibu angkat dipanggil 'laoshi' yang memeliharanya sejak kecil.
"Pada pandangan saya hubungan yang begitu mesra antara ibu dengan anak angkat berbeza agama ini memaparkan suatu situasi unik dan amat bermakna, malah mereka juga telah berjaya menonjolkan sifat mulia yang wajar diteladani oleh setiap orang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata apa yang lebih mengagumkan apabila diketahui bahawa Chee membesarkan Rohana tanpa menukarkan agamanya, malah wanita itu telah mendidik anak angkatnya secara Islam seperti memastikan dia sentiasa menunaikan solat serta berpuasa pada bulan Ramadan.
Wan Salim berkata agama Islam memang menghendaki hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak dikekalkan walaupun mereka berbeza agama malah hubungan kekeluargaan itu mesti diteruskan dalam apa jua keadaan serta tidak harus diputuskan atas dasar kelainan agama.
Katanya, hubungan baik itu juga pernah beliau sarankan mengenai kes ibu dan anak-anak mualaf yang menjadi perhatian umum di Malaysia beberapa bulan yang lepas.
"Demi mengekalkan hubungan yang baik dan mesra antara seorang anak dengan ibu bapa maka Islam mewajibkan anak-anak mentaati ibu bapa selagi mana tidak disuruh syirik kepada Allah dan melakukan maksiat," katanya.
Rohana merupakan antara 660 pelajar diploma daripada lima kursus ditawarkan UTeM yang mula mendaftar di Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UTeM, Melaka semalam.
Sebelum ini, kisah gadis itu tular dalam media sosial susulan dia telah dibesarkan oleh ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan oleh ibunya warga Indonesia.
Gadis itu bagaimanapun gagal menyambung pelajaran ke universiti kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri.
Kesulitan dihadapi dua beranak itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
-- BERNAMA
#Mufti Pulau Pinang #Chee Hoi Lan #Rohana Abdullah #ibu angkat beza agama
;