Hubungan Malaysia-UAE strategik, amat signifikan - Najib

Bernama
Mei 19, 2014 07:57 MYT
Perdana Menteri bersama Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera UAE memeriksa perbarisan kehormat Angkatan Tentera UAE dan Malaysia yang sedang menjalankan latihan bersama. --fotoBERNAMA
Datuk Seri Najib Tun Razak mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menyifatkan negara teluk itu sebagai rakan strategik Malaysia yang besar menerusi hubungan dua hala sarat dengan signifikan yang amat bermakna.
"Apa yang telah dimeterai dan diumumkan dalam lawatan ini adalah amat signifikan termasuk kerjasama dalam bidang pertahanan, sumbangan untuk membina kompleks masjid terbesar dan kerjasama dalam bidang-bidang pelaburan lain.
"Ini menunjukkan UAE adalah rakan strategik Malaysia yang besar dan mempunyai signifikan yang amat bermakna sekali," katanya kepada media Malaysia pada Isnin sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Selain memberi laluan yang lebih besar dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, lawatan rasmi kedua Perdana Menteri ke negara itu telah meletakkan platform baharu ke arah kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang lain termasuk pelancongan, pendidikan dan pertahanan.
Hubungan dua hala kedua-dua negara itu mendapat suntikan baharu dengan lawatan rasmi tersebut.
Menyifatkan kunjungan rasmi itu "menunjukkan keberhasilan menggalakkan", Najib berkata kerjasama dalam bidang pertahanan dan pelancongan kesihatan antara bidang baharu yang berpotensi untuk diteroka dan mampu memberi faedah yang besar kepada kedua-dua negara.
"Kita melihat kerjasama dalam bidang pertahanan tidak kurang pentingnya sebab banyak faedah boleh diperoleh.
"Medical tourism (pelancongan kesihatan) juga satu aspek yang akan ditekankan kerana mereka (pelancong dari negara Teluk) bila ke luar negeri akan membawa keluarga yang besar, dan ini akan membantu kita meningkatkan bilangan pelancong ke negara kita," katanya.
Menarik perhatian mengenai bidang latihan bersama ketenteraan antara Malaysia dan UAE, Najib berkata ia mampu menyumbang kepada peningkatan tahap kemahiran dan profesionalisme angkatan tentera negara.
Perdana menteri percaya hubungan diplomatik harus bersifat multidimensi walaupun pada asasnya bermula dengan hubungan perdagangan dan ekonomi.
Terdahulu Perdana Menteri diberi penghormatan untuk menyaksikan perbarisan khas sempena latihan bersama tentera kedua-dua negara di Abu Dhabi.
Perbarisan khas itu merupakan manifestasi jalinan kerjasama erat dalam bidang pertahanan antara kedua-dua negara Islam terbabit.
Mengulas perkara berkenaan, Najib yang menghadiri acara khas itu bersama Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata perbarisan itu mencerminkan tahap profesionalisme yang tinggi antara angkatan tentera UAE dan Malaysia.
Katanya latihan bersama itu akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan kepada pasukan pertahanan negara mengenai operasi ketenteraan dalam keadaan yang pelbagai.
Bagaimanapun butiran lengkap mengenai latihan bersama yang dijalankan tidak didedahkan kepada media.
Lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Abu Dhabi menyaksikan dua perjanjian persefahaman (MoU) dan dua persetujuan perjanjian dimeterai antara Malaysia dan Abu Dhabi.
Dua MoU yang ditandatangani merintis ruang kerjasama yang lebih luas dalam bidang pelancongan dan pendidikan yang mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
Persetujuan perjanjian pula membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Islam dan Waqaf (AWQAF) UAE, untuk membina sebuah kompleks masjid, simbol hubungan erat kedua-dua negara Islam itu.
Perjanjian itu juga bakal mengembangkan lagi syiar Islam dengan penubuhan pusat pembelajaran dan Pusat Permata bagi kanak-kanak berbakat di kawasan kompleks berkenaan yang akan dibina di Bandar Malaysia, iaitu bandar kewangan baharu di Sungai Besi.
Sempena lawatannya, Najib turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama perniagaan antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FEKDA) dan rangkaian pasar raya terbesar di Timur Tengah, Lulu International Group.
Kerjasama itu bakal memberi manfaat besar kepada Malaysia dengan penyediaan 2,000 peluang pekerjaan langsung serta 5,000 pekerjaan tidak langsung melalui pembukaan cawangannya di Malaysia.
Sebagai permulaan, Lulu Group akan membuka 10 pasar raya besar Halal di Malaysia, dengan setiap pasar raya dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan di semua peringkat.
#Najib Razak #UAE
;