Hubungan Malaysia-UAE dipertingkat kepada perkongsian strategik
Nailah Huda
September 27, 2022 17:16 MYT
September 27, 2022 17:16 MYT
ABU DHABI: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk meningkatkan tahap hubungan antara kedua-dua negara kepada perkongsian strategik setelah hubungan dua hala itu terjalin sejak awal 1970-an.
Peningkatan taraf hubungan itu dicapai melalui pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Abu Dhabi pada Isnin.
Malah, Ismail Sabri menggambarkan suasana perbincangan ketika itu amat mesra dan “penuh kekeluargaan”.
“Perjumpaan berlangsung dengan suasana yang sangat mesra dan penuh kekeluargaan kerana UAE menganggap Malaysia sebagai keluarga.
“Ini kerana hubungan yang amat rapat antara Presiden UAE dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” kata Perdana Menteri dalam satu sidang media di Abu Dhabi pada Selasa.
Pengiktirafan perkongsian strategik itu juga berikutan hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara kedua-dua negara, terutamanya apabila nilai dagangan Malaysia-UAE meningkat 90.4 peratus pada lapan bulan pertama 2022, iaitu sebanyak RM25.6 bilion.
Jumlah tersebut melebihi nilai keseluruhan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM22.29 bilion.
BERITA LANJUT MENYUSUL