Hubungan Malaysia-AS tidak akan terjejas - Hishammuddin

Hilal Azmi
November 24, 2016 17:12 MYT
HISHAMMUDDIN: Kita boleh mengadakan latihan ketenteraan seperti ini tanpa menimbulkan keraguan kepada rakan-rakan kita yang lain. - Foto Astro AWANI/Hilal Azmi
Latihan Ketenteraan Aman Youyi 2016 yang diadakan di Kuala Lumpur membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang sanggup bersama terutamanya dalam bantuan bencana dan kemanusiaan.
"Kita sedar dalam dunia yang semakin sempit hari ini kita tak boleh melihat ke hadapan keseorangan, jadi kerjasama rapat dengan sesiapa sahaja yang sanggup bersama mesti diteruskan.
"Sebenarnya ini keunikan yang ada pada Malaysia. Kita boleh mengadakan latihan ketenteraan seperti ini tanpa menimbulkan keraguan kepada rakan-rakan kita yang lain.
"Salah satu caranya adalah untuk menunjukkan bahawa kita ini konsisten, kita tidak ada pertimbangan lain tetapi sekurang-kurangnya hubungan yang kita ada ini (boleh dimanfaatkan) terutamanya untuk pemulihan bencana," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Latihan Aman Youyi 2016 pada Khamis.
Latihan ketenteraan Aman Youyi 2016 melibatkan 410 peserta iaitu 215 anggota ATM, dan 195 anggota PLA.
Ia turut melibatkan 10 orang Delegasi Pemerhati yang dijemput khas dari Angkatan Bersenjata Diraja Thailand (RTARF) bagi memberi pandangan dan penilaian terhadap keberkesanan latihan ketenteraan ini.
Latihan ketenteraan ini merupakan kesinambungan daripada perjanjian persefahaman yang ditandatangani Malaysia dan China pada 1 November lalu sewaktu lawatan kerja Menteri Pertahanan bersama Perdana Menteri ke Beijing, China.
Menerusi perjanjian persefahaman itu, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan.
#ATM #Hishammuddin Hussein #Latihan Aman Youyi
;