Hubungan Malaysia-Singapura perlu terus diperkukuh - Tuanku Abdul Halim

Bernama
September 18, 2013 07:15 MYT
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yakin hubungan Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh pada setiap peringkat, termasuk dalam kalangan generasi muda.
Pada masa yang sama, Ketua Negara Malaysia itu berharap kedua-dua pihak akan terus menggalakkan sikap saling menghormati dan meningkatkan persefahaman yang dapat mempereratkan lagi hubungan di masa depan.
Dalam titah ucapan pada jamuan negara bagi meraikan Presiden Singapura Dr Tony Tan Keng Yam, yang dalam rangka lawatan ke Malaysia, di sini Rabu malam, Yang di-Pertuan Agong bertitah selama ini Malaysia dan Singapura saling bantu membantu dan bekerjasama dalam banyak aspek demi faedah kedua-dua negara.
Ini meliputi bidang seperti perdagangan dan pelaburan serta pelancongan.
Baginda bertitah peningkatan kemudahan perhubungan dan akses merentas sempadan antara kedua-dua negara akan merapatkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia dan Singapura.
"Ini jelas amat baik kepada hubungan setiakawan dan kekeluragaan yang sedia terjalin. Selain itu, ia juga akan merangsang hubungan perniagaan dan menjana pelbagai usaha ke arah pembangunan sosial-ekonomi bagi kedua-dua negara," titah Seri Paduka.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis jamuan negara yang diadakan di Istana Negara.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Tan memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia hari ini. Beliau diiringi isterinya Mary Tan.
Sementara itu, Presiden Singapura itu berkata menerusi hubungan yang semakin baik, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama lebih baik dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan, komunikasi, kesenian, kebudayaan dan pendidikan.
Katanya hubungan dua hala menerusi projek seperti rangkaian kereta api berkelajuan tinggi akan mempertingkatkan lagi kerjasama ekonomi dan hubungan rakyat ke rakyat.
"Kita sama-sama mempunyai impian besar, jadi rakyat kita akan mempunyai masa depan yang lebih baik dan terjamin," katanya.
Daripada perspektif serantau, Dr Tan berkata Malaysia dan Singapura turut bekerjasama erat dalam Asean dan kedua-dua negara berkongsi visi serupa untuk menjadikan Asean sebuah perkumpulan serantau yang makmur, kukuh dan bersatu.
Beliau berkata Singapura juga mengalu-alukan Malaysia sebagai pengerusi Asean pada 2015 dan akan berusaha bersama-sama Malaysia dan negara anggota yang lain untuk merealisasikan Komuniti Asean.
#hubungan #Malaysia #Singapura #Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
;