Hubungan Malaysia-Pakistan diperkukuh, buka peluang besar yang selama ini tidak diteroka

Ifwan Tun Tuah
Oktober 4, 2024 20:30 MYT
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik tetapi juga membuka peluang besar dalam bidang ekonomi, teknologi, dan sosial yang selama ini tidak diteroka sepenuhnya. - Foto Bernama
ISLAMABAD: Lawatan Negara tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Pakistan yang berakhir hari ini, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menyifatkan lawatan ini sebagai singkat tetapi padat dengan pelbagai agenda, Anwar berpuas hati ia membuahkan hasil yang signifikan, memperkukuh kerjasama dan membuka peluang besar yang selama ini tidak diteroka sepenuhnya oleh Malaysia.
“Dua negara ini akui bahawa prestasi perdagangan itu sangat rendah, padahal (mempunyai) potensi yang besar.
“Sebab itu kita kenal pasti beberapa projek dan juga langkah yang harus diambil termasuk seperti yang saya katakan tadi, eksport dari Pakistan seperti beras dan daging… dan import yang akan lebih meningkat (iaitu) kelapa sawit.
“Kemudian, mereka (mahu) perbesarkan kilang farmaseutikal di Malaysia dan akan ada jaringan supaya dapat mereka kembangkan,” katanya pada sidang media di Islamabad malam tadi.
Anwar turut menzahirkan rasa terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang menaik taraf status lawatan kerja beliau kepada Lawatan Negara sebagai tanda persahabatan yang akrab.
Shehbaz sendiri menyambut Anwar di lapangan terbang dan turut hadir dalam majlis dialog bersama tokoh perniagaan, menunjukkan kesungguhan beliau untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Pakistan.
Antara yang mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Shehbaz, Anwar menyatakan bahawa perbincangan mereka meliputi pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi pertanian, dan import kelapa sawit.
Pakistan berjanji untuk meningkatkan jumlah import dari Malaysia, dan kedua-dua negara bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang pekerja mahir, kecerdasan buatan (AI), digital, dan semikonduktor.
Lawatan ini juga berjaya meraih potensi perdagangan bernilai RM2.65 bilion dan menghasilkan komitmen pelaburan bernilai RM100 juta dalam sektor halal yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
Ini menunjukkan betapa besar potensi ekonomi yang boleh diteroka melalui kerjasama erat antara kedua-dua negara.
Selain aspek ekonomi, kedua-dua pemimpin juga menyuarakan ketegasan mengecam keganasan Israel di Palestin dan Lubnan, yang menunjukkan solidariti dan kesepakatan dalam isu-isu antarabangsa yang penting.
Shehbaz dalam pada itu turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang boleh dijadikan contoh dalam pelbagai aspek, termasuk pelaburan langsung, eksport, dan tadbir urus yang telus serta usaha memerangi rasuah, malah memuji kepimpinan Anwar yang membawa perubahan mendalam dalam negara.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik tetapi juga membuka peluang besar dalam bidang ekonomi, teknologi, dan sosial yang selama ini tidak diteroka sepenuhnya.
Dengan komitmen dan kesungguhan kedua-dua pemimpin, masa depan hubungan Malaysia-Pakistan kelihatan cerah dan penuh dengan potensi yang besar.
#Hubungan dua hala #lawatan rasmi #kecerdasan buatan #kelapa sawit
;