Hubungan Malaysia-Mesir diperkukuh sejak tahun-tahun kebelakangan ini - Menteri Luar Mesir

Bernama
September 28, 2024 07:45 MYT
Abdel Aati mengadakan pertemuan dengan Mohamad pada Sabtu, di luar sesi peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB di New York. - Foto BERNAMA
NEW YORK: Menteri Luar, Imigresen dan Urusan Ekspatriat Mesir, Dr Badr Abdel Aati, memuji pengukuhan hubungan Mesir-Malaysia sejak tahun-tahun kebelakangan ini, terutama selepas lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir pada Oktober 2023.
Dr Abdel Aati membuat kenyataan itu dalam pertemuan pada Sabtu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hassan, di luar sesi peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur berkongsi butiran pertemuan itu dengan Bernama.
Dalam perbincangan itu, Dr Abdel Aati menyatakan harapan agar hubungan dua hala antara kedua-dua negara akan terus berkembang dan memupuk kerjasama yang lebih erat.
Beliau menekankan kepentingan mengadakan jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh menteri luar kedua-dua negara secepat mungkin bagi meningkatkan kerjasama.
Menteri Luar Mesir itu juga menekankan keperluan untuk memperkukuh mekanisme komunikasi antara komuniti perniagaan di kedua-dua negara bagi melonjakkan pertukaran perdagangan.
Beliau menggesa syarikat Malaysia untuk memanfaatkan peluang pelaburan di Mesir, dengan persekitaran perniagaan yang kondusif.
Kedua-dua menteri turut membincangkan perkembangan mendesak dan berbahaya di Timur Tengah, termasuk pencerobohan Israel di Lubnan serta serangan berterusan di Gaza yang memberi kesan buruk kepada rakyat Palestin.
Mereka menyeru agar gencatan senjata segera dan kekal di Gaza dan Lubnan dilaksanakan bagi mengelakkannya menjadi konflik serantau yang lebih meluas dan boleh menjejaskan keselamatan serta kestabilan rantau itu.
Dr Abdel Aati turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi dalam menggerakkan sumber dan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
-- BERNAMA
#badr abdel aati #hubungan Malaysia-Mesir #Hubungan dua hala #Mesir
;