Hubungan Malaysia-Iran dipertingkat, kerjasama baharu dibentuk libat pelbagai bidang - Zambry
Fareez Azman
Ogos 23, 2023 20:19 MYT
Ogos 23, 2023 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dengan Iran menerusi akses pasaran eksport komiditi terus menerima sambutan baik Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata lawatan rasminya ke negara timur tengah itu turut mendapat respon yang baik dari kerajaan Iran dan beberapa kerjasama dua hala turut dipersetujui.
"Sebagai dua negara Islam yang berpengaruh, Malaysia dan Iran berpotensi memainkan peranan yang signifikan dalam isu-isu global yang memberi impak kepada umat Islam terutamanya dalam menangani isu Islamofobia secara bersama.
"Kedua-dua pemimpin turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing. Beberapa perkara penting telah dicapai dalam lawatan rasmi ini iaitu mengembangkan potensi kerjasama dua hala di dalam pelbagai bidang yang akan diperhalusi melalui Joint Commission Meeting (JCM) dan Joint Economic Commission (JEC).
"Meneroka peluang kerjasama baharu di dalam bidang sains dan teknologi, farmaseutikal, bioteknologi, nanoteknologi, peralatan perubatan dan penyelidikan berkaitan pembangunan vaksin," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Selain itu, kerjasama dua hala turut meliputi bidang keterjaminan makanan terutama aktiviti penyelidikan dan industri halal, jaringan perhubungan udara lebih praktikal dan efisyen di antara dua negara bagi sektor pelancongan dan pertukaran rakyat.
Jelas Zambry, Iran juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan melalui pertukaran tenaga pengajar, penyelidik dan pelajar pelbagai bidang.
"Lawatan saya ke Iran juga bertujuan mengembangkan lagi akses pasaran eksport komoditi dan produk pembuatan Malaysia ke negara-negara bebas Komanwel (CIS).
"Kedudukan strategik Iran yang berkongsi sempadan dengan 15 negara lain berpotensi menjadi hub utama bagi eksport komoditi negara terutamanya produk minyak sawit yang merupakan 70 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia dengan Iran.
"Lawatan pada kali ini telah berjaya untuk membuka lembaran baharu hubungan dua hala di antara Malaysia dan Iran serta hubungan Malaysia dengan rantau Asia Barat," ujarnya.
Dalam lawatan rasminya di Tehran mulai 20 hingga 23 Ogos itu, Zambry turut bertemu para pemimpin tertinggi Iran termasuk Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf serta Menteri Luar Negeri Iran, Dr Hossein Amir Abdollahian.