Hubungan Malaysia-Indonesia lebih utama berbanding masalah berbangkit antara kedua-dua negara - Anies Baswedan

Bernama
Oktober 11, 2023 11:30 MYT
Hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia jauh lebih utama berbanding isu-isu berbangkit antara kedua-dua negara, kata bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
KUALA LUMPUR: Hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia jauh lebih utama berbanding isu-isu berbangkit antara kedua-dua negara, kata bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
Bakal calon Presiden Indonesia daripada Koalisi Perubahan untuk Persatuan (KPP) itu memandang masalah yang timbul sebagai sebahagian daripada resam hidup berjiran dan akan diselesaikan dalam suasana persahabatan.
"Kita akan terus berjiran selama-lamanya, kerana itu setiap kali ada masalah, kita bahaskan (bincang) secara terbuka," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam anjuran Pertubuhan Kebajikan Jamiatul Khairiah Selangor dan Wilayah Persekutuan, di sini, pada Selasa.
Anies berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap hubungan Malaysia-Indonesia ketika ini di sebalik isu-isu berbangkit seperti jerebu rentas sempadan dan pekerja migran Indonesia.
Beliau berada di Malaysia bagi memenuhi undangan menyampaikan kuliah di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) pada Rabu.
Anies berkata, dalam pertemuannya dengan komuniti Indonesia di Malaysia pada Selasa, mereka menyampaikan aspirasi agar polisi kedua-dua negara bagi pekerja migran dapat diselaraskan.
"Yang banyak dibicarakan adalah tentang pekerja migran dan itu yang perlu dibahas bersama-sama, bukan hanya pekerja tetapi juga anak-anak mereka supaya mereka mendapat kesempatan yang setara dan mempunyai masa depan yang baik," katanya.
Ditanya mengenai hubungan Indonesia dengan China dan Amerika Syarikat, Anies berpandangan, Indonesia perlu menjaga keseimbangan dalam hubungannya dengan kedua-dua kuasa besar berkenaan sejajar dengan pendekatan ASEAN.
"Kita perlu menjaga polisi luar negara berdasarkan nilai (value-based foreign policy), not transactional foreign policy, maka kita bisa menyampaikan bahawa kami ingin kedaulatan bernegara.
"Jadi ketika ada tindakan (pihak luar) yang menombor duakan (membelakangkan) kedaulatan, we should stand up," katanya.
Pada 2 Sept lepas, Anies dan Muhaimin Iskandar masing-masing diisytihar sebagai calon presiden dan naib presiden bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia penggal 2024-2029.
Anies menyertai senarai calon presiden yang lain, termasuk Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto. - BERNAMA
#Malaysia-Indonesia #hubungan persahabatan #Anies Baswedan #isu jerebu
;