Hubungan Malaysia-India terus diperkukuh, meterai lapan MoU

Umavathi Ramayah
Ogos 20, 2024 15:39 MYT
Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Hyderabad House itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi. - Foto Bernama
NEW DELHI: Sebanyak lapan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan lima kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dimeterai antara Malaysia dan India pada Selasa bagi mengukuhkan lagi hubungan bilateral kedua-dua negara.
Majlis yang diadakan di Hyderabad House itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Hyderabad House merupakan lokasi majlis rasmi kerajaan India.
Pertukaran dokumen itu berlangsung dalam lawatan rasmi tiga hari Anwar ke India yang juga merupakan lawatan pertamanya ke negara ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.
Lima kementerian terbabit dalam MoU hari ini ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital, Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Lapan MoU itu adalah seperti berikut:
Kementerian Sumber Manusia
* Pengrekrutan, pengambilan pekerja dan repatriasi
Kementerian Luar
* Ayurveda dan lain-lain perubatan tradisional
* Kerjasama sektor belia dan sukan
Kementerian Digital
* Kerjasama teknologi digital
Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Kesenian
* Kerjasama sektor kebudayaan, kesenian dan warisan
* Kerjasama sektor pelancongan
Jabatan Pentadbiran Awam (JPA)
* Kerjasama pentadbiran awam dan reformasi tadbir urus
Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA)
* Kerjasama International Financial Services Centres Authority dan Labuan FSA
Pada majlis sama, laporan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum ke-2 Malaysia-India diserahkan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar India, Dr Jaishankar.
#hubungan Malaysia-India #Anwar Ibrahim #Narendra Modi #MoU #lawatan Rasmi Perdana Menteri