Hubungan Malaysia dan Arab Saudi akan terus kukuh - PM Anwar

Faida Rahim
Oktober 23, 2023 13:13 MYT
Dalam masa sama, kerjasama ini juga mencorak lembaran segar dalam hubungan persahabatan kedua-dua negara. - Foto Bernama
RIYADH: Malaysia dan Arab Saudi akan terus memperkukuhkan hubungan serta kerjasama ekonomi dan diplomatik.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut beliau, hubungan dua negara ini pasti terus diperkukuh demi kesejahteraan dan keamanan sejagat tatkala negara menjangkau tingkat baharu.
Dalam masa sama, kata Perdana Menteri, kerjasama ini juga mencorak lembaran segar dalam hubungan persahabatan kedua-dua negara.
Semalam, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Al-Yamamah.
Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar, selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh pada Jumaat.
Pada 5 Oktober lalu, Anwar menerima panggilan telefon daripada Putera Mahkota Mohammed yang menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Arab Saudi.
#hubungan kukuh #Malaysia #Arab Saudi #kerjasama ekonomi dan diplomatik #Perdana Menteri Anwar Ibrahim