Hubungan Malaysia-China terus positif, erat - Muhyiddin
Astro Awani
Mei 21, 2021 18:31 MYT
Mei 21, 2021 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dan China terus berkembang positif dan erat meskipun berdepan cabaran getir, kesan daripada penularan COVID-19, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, kolaborasi kedua-dua negara dalam pembelian vaksin, keselamatan makanan serta rantaian bekalan yang terjamin juga akan diteruskan dalam usaha mengatasi pandemik tersebut.
Tambah beliau, kerjasama dua hala juga akan diperkukuh menerusi penerokaan bidang baharu selain mengekalkan kerjasama sedia ada dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Menerusi laman Facebook beliau, Muhyiddin berkongsikan intipati perbincangan yang diadakan secara sidang video bersama Perdana Menteri China, Li Keqiang yang menyentuh kerjasama antara kedua-dua negara.
“Kerjasama ini termasuklah dalam aspek penghasilan vaksin COVID-19 secara ‘fill and finish’ di Malaysia, kerjasama dalam bidang perdagangan elektronik, teknologi tinggi, ekonomi digital, pertanian dan agromakanan, pembangunan keselamatan makanan serta program pembasmian kemiskinan.
“Kerajaan China telah memberikan respons yang amat positif supaya cadangan-cadangan kerjasama ini dibincangkan dengan lebih terperinci di peringkat kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya.
Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada China yang menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Malaysia di peringkat awal penularan pandemik COVID-19, membuktikan keakraban hubungan Malaysia dan China.
Sementara itu, perbincangan itu turut menyentuh isu-isu antarabangsa melibatkan situasi di Palestin dan Myanmar.
“Kami berdua bersetuju bahawa situasi yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua buah negara tersebut dan rantau sekelilingnya memerlukan desakan segera daripada semua komuniti antarabangsa agar dihenti dan diselesaikan segera.
“Dalam hal ini, saya turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia dan negara lain di platform antarabangsa,” katanya.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#PM
#China
#Li Keqiang
#kerajaan
#dua hala
#kerjasama
#ekonomi
#rakyat
#pandemik
#vaksin
#COVID-19
#Palestin
#Myanmar
#menteri
#video
#sidang video
#pelaburan
#keselamatan