Hubungan Malaysia-China erat, tidak perlu Hishammuddin jadi perantara buru Jho Low - Anwar

Ashwad Ismail
Oktober 25, 2018 13:12 MYT
ANWAR: "Kalau nak kata kita perlu perantara seolah-seolah hubungan Malaysia-China ada masalah, itu tidak benar."
Bekas Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak perlu menjadi perantara dalam usaha Malaysia memburu ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam rangka lawatan ke China memaklumkan, hubungan Kuala Lumpur dan Beijing adalah baik dan kerjasama turut merangkumi usaha tersebut.
"Sebenarnya tiada keperluan, hubungan dengan China adalah baik dan ini ditekankan berulang kali oleh Menteri Luar China, Wang Yi kepada saya.
"Kalau nak kata kita perlu perantara seolah-seolah hubungan Malaysia-China ada masalah, itu tidak benar. Melainkan perantara itu ada hubung kait langsung dengan Jho Low, itu saya tidak tahu," kata Anwar ketika bual bicara mingguan eksklusif AI terbitan Astro AWANI.
BACA: Tawaran Hishamuddin menarik, tapi biarlah kerajaan buat - KJ
BACA: Apa motif Hishammuddin nak cari Jho Low sampai 'lubang cacing'?
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini menawarkan diri untuk membawa pulang Jho Low bagi merungkai segala isu yang berkait skandal mega yang menjadi perhatian dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika benar ahli perniagaan itu sedang bersembunyi di China.
"Saya percaya Menteri Luar, PDRM dan SPRM boleh terus mendapatkan kerjasama daripada China dalam semua urusan," ujar Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.
Anwar berada di China sebagai memenuhi jemputan untuk menyampaikan syarahan di Universiti Renmin di Beijing serta wakil-wakil pentadbiran Beijing.
Beliau turut dilantik sebagai Presiden Kehormat Pusat Undang-Undang dan Globalisasi di Universiti Renmin.
Ikuti temu bual penuh bual bicara mingguan eksklusif AI, setiap Khamis 8.30 malam di Astro AWANI.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Anwar Ibrahim #Beijing #China #Hishammuddin Hussein #Jho Low #Malaysia #Pakatan Harapan #Parlimen #PDRM #SPRM
;