Hubungan Malaysia-China bertambah erat, disokong hubungan diplomatik yang kukuh

Bernama
Januari 16, 2023 23:23 MYT
Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing (kanan) bersama Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kedutaan China di Malaysia di sebuah hotel pada Isnin malam. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hubungan antara Malaysia dan China kini bertambah erat disokong oleh hubungan diplomatik yang kukuh antara kedua-dua negara (G to G) serta penglibatan aktif sektor swasta, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Menteri itu berkata Kuala Lumpur-Beijing telah menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan bersetuju untuk meningkatkan hubungan menerusi Kerjasama Strategik pada 2004 dan seterusnya dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) pada 2013.
"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 peningkatan hubungan dua hala Malaysia dan China kepada CSP.
"Dalam hal ini, kami berharap dapat menjalin kerjasama erat dengan China dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala kami," katanya dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023 yang dihoskan Kedutaan China di Malaysia di sini malam Isnin.
Dr Zambry berkata Malaysia mengharapkan penglibatan yang lebih konstruktif dalam mempromosi dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat untuk faedah kedua-dua negara.
Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dalam ucapannya berkata China dan Malaysia menikmati hubungan ekonomi yang kukuh, dan jumlah perdagangan pada 2022 mencatat keuntungan sebanyak US$203.6 bilion, meningkat 15.6 peratus pada tahun ke tahun.
"Ini adalah kali pertama dalam sejarah jumlah itu melepasi US$200 bilion," katanya.
Beliau berkata bahawa ulang tahun ke-10 penubuhan CSP China dan Malaysia melakar sejarah baharu, justeru kedua-dua pihak kini bersedia untuk membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Majlis resepsi itu dihadiri beberapa menteri Kabinet dan tetamu kenamaan termasuk Pengerusi Bernama Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
-- BERNAMA
#Malaysia-China #hubungan diplomatik #Menteri Luar Zambry Abd Kadir #Kuala Lumpur-Beijing
;