Hubungan kukuh negeri, persekutuan penting - Ahmad Zahid
Bernama
Jun 3, 2023 20:22 MYT
Jun 3, 2023 20:22 MYT
KAPIT (Sarawak): Hubungan kukuh antara kerajaan negeri dan pusat penting dalam perlaksanaan projek pembangunan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya usaha memperkukuhkan hubungan itu selari dengan misi kerajaan MADANI yang mahu setiap rakyat di negara ini mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
"Apatah lagi jika kerajaan negeri itu sentiasa bersama-sama kerajaan pusat, maka kerajaan pusat pasti akan terus menyalurkan peruntukan melebihi apa yang sepatutnya diperolehi negeri itu.
"Inilah yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Perayaan Gawai 2023 di Dewan Suarah Kapit di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hubungan erat itu akan membolehkan setiap perancangan dan perlaksanaan pembangunan berjalan lancar.
Menurutnya hubungan erat Kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan telah membolehkan pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar di negeri itu.
Pada majlis itu juga beliau mengumumkan pembinaan projek Kolej Profesional Mara di Kapit yang telah diluluskan sebelum ini dan akan dilaksana pembinaannya pada tahun ini.
Beliau turut mengumumkan projek pembinaan jalan Nanga Samaram ke Nanga Beguang bernilai RM170 juta dan Jalan Sungai Sut - Rumah Juntan (RM60 juta) dipercepatkan, dan pelaksanaan projek Skim Bekalan Air Alternatif Kapit bernilai RM60 juta selain pembinaan jambatan Sungai Amang menghubungkan Rumah Richard Engking dengan jalan utama bernilai RM4.8 juta.
Sementara itu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Richard Engking, Ahmad Zahid meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk menaik taraf rumah panjang dan menukar pendawaian elektrik bagi manfaat 48 keluarga dan kira-kira 400 penduduknya.
-- BERNAMA