Hubungan Korea Selatan-Malaysia boleh dipertingkat ke peringkat lebih hebat - Duta
Bernama
Oktober 1, 2022 12:50 MYT
Oktober 1, 2022 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Korea Selatan dan Malaysia boleh meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara ke satu tahap yang lebih tinggi, kata Duta Korea Selatan ke Malaysia Lee Chi Beom yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya di sini.
Memandangkan kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur antara Malaysia dan Korea Selatan tahun depan, beliau optimis hubungan yang lebih erat dapat diperluaskan ke banyak lagi bidang dan lebih mendalam.
"Korea Selatan dan Malaysia menikmati hubungan yang lebih erat bukan sahaja dari segi bilangan dan jumlah. Saya yakin pertukaran dua hala kami akan menjadi lebih aktif dan terus diperkukuh kepada perkongsian strategik dalam masa terdekat.
"Seperti ditegaskan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, saya percaya Korea Selatan dan Malaysia bagaikan adik-beradik dalam 'Keluarga Dunia' yang sama, dan kita boleh mengatasi pelbagai cabaran dan membina masa depan yang sejahtera bersama-sama," kata Lee.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena ulang tahun Hari Kebangsaan Yayasan Korea Selatan ke-4,354 dan Hari Angkatan Tentera Korea Selatan ke-74, di sini Jumaat malam.
Acara tahunan itu yang tertangguh selama dua tahun berturut-turut berikutan pandemik COVID-19 itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, diplomat asing, pegawai kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat Korea Selatan di sini.
Lee berkata Korea Selatan sedang mengumpul sokongan untuk menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030 di Busan dan berharap Malaysia turut menyokong bidaan negara ini bagi menganjurkan acara itu.
"Saya percaya Ekspo Dunia di Busan akan menjadi peluang terbaik bagi kedua-dua negara untuk menyertai usaha menangani cabaran global, seperti perubahan iklim, transformasi digital, dan ketidaksamaan dalam dan antara negara, demi masa depan kita yang lebih baik.
"Kami mengharapkan anda mempertimbang dan menyokong untuk Busan menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030," kata Lee sambil menyatakan majlis itu adalah majlis rasmi terakhir beliau sebagai duta besar ke Malaysia kerana tempoh perkhidmatannya di negara ini akan tamat.
Latar belakang majlis resepsi itu memaparkan pelakon Lee Jung Jae, pemenang anugerah Emmy menerusi watak utama dalam siri Squid Game baru-baru ini. Lee antara yang dilantik sebagai duta promosi untuk tawaran Ekspo Dunia 2030 Busan.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-62 hubungan diplomatik rasmi antara keduda-dua negara.
-- BERNAMA