'Hubungan intim bukan punca utama, 90 peratus pasangan bercerai kerana tidak solat'
Sinar Harian
Mei 15, 2023 16:10 MYT
Mei 15, 2023 16:10 MYT
SHAH ALAM : Hubungan intim bukan merupakan masalah atau punca utama kepada perpecahan dan perceraian rumah tangga di negara ini.
Mantan Perunding cara Keluarga yang juga pendakwah, Asma' Harun berkata, 90 peratus rumah tangga yang berakhir dengan perceraian atau menghadapi pergaduhan berpanjangan adalah disebabkan mereka mengabaikan solat.
Menurutnya, meskipun pasangan mengadukan isu lain seperti orang ketiga, kewangan, hubungan intim dan lain-lain, namun begitu tidak mendirikan solat adalah punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku.
“Semua ini ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas.
"Masalah hubungan intim ada kalanya menjadi sebab utama, tapi kebanyakannya adalah kesan akibat bila syariat Islam diabaikan," katanya dalam satu hantaran pada Isnin.
Beliau yang juga bekas Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (Ketua Unit Rundingcara), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjelaskan, mengambil contoh mudah, seorang suami yang tidak solat pasti cenderung mengabaikan tanggungjawab asas sebagai suami dan mempunyai sikap yang tidak menyenangkan.
"Paling utama hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat Allah, maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.
“Begitu juga dengan seorang isteri yang tidak solat, jika kewajipan paling utama sebagai Muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apa sangat nak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh, walaupun amaran yang sangat berat,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan tujuh saranan bagi membantu pasangan suami isteri yang menghadapi masalah intim antaranya tidak mencampurkan antara lelaki dan wanita di dalam kumpulan media sosial atau bersemuka.
Tambahnya, pasangan juga disaran menggunakan ayat yang tidak menyebabkan kecenderungan untuk membayangkan secara jelas hingga boleh menaikkan syahwat.
Selain itu, katanya, suami atau isteri tidak boleh mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan meskipun secara rahsia.
“Tidak perlu menceritakan secara teliti tentang kaedah pelaksanaan hubungan intim kerana ia adalah sesuatu yang sedia maklum, atau berikan sahaja sumber rujukan ilmiah atau jika perlu kepada yang terlalu naif, diberikan perincian secara bertulis dan khusus atau tertutup,” ujarnya.
Beliau turut tidak menyarankan sesuatu perbuatan yang membawa kepada melanggar syariat Islam atau melampaui batasan norma kerana akan memberi kesan buruk seperti dorongan fantasi yang berlebihan sehingga memaksa pasangan untuk melaksanakan diluar kesanggupan.
Tambahnya, konsultasi yang dilaksanakan perlu diurus dengan penuh tatatertib kerahsiaan yang tinggi dan tatacara yang bermaruah.
“Akhir sekali, turut menjemput individu yang bertauliah seperti doktor, kaunselor, perunding cara rumah tangga, peguam dan lain-lain yang berautoriti dalam bidang ini. Mereka yang diberi latihan khusus untuk mengendalikan serta memberi konsultasi yang berkaitan.
“Cara ini juga akan mengukuhkan keabsahan ilmu dan kedudukan pihak tersebut,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, meskipun mendapatkan khidmat perantara seperti perunding, penasihat, kaunselor atau pegawai agama, namun yang paling utama adalah memelihara hubungan dengan Allah. - Sinar Harian