Hubungan erat Malaysia, negara Nordic kukuhkan perdagangan dua hala

Bernama
November 10, 2023 08:20 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (dua, kiri) bergambar bersama Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom (kiri), Duta Finland ke Malaysia Sami Leino (tiga, kiri) dan Duta Norway ke Malaysia Morten Paulsen (kanan). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hubungan diplomatik yang lebih erat antara Malaysia dan tiga negara Nordic iaitu Norway, Sweden, Finland membuka peluang dalam melebarkan lagi hubungan perdagangan dua hala.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ini kerana sedia maklum bahawa ketiga-tiga negara Nordic itu mempunyai sejumlah syarikat atau perniagaan yang berpangkalan di Malaysia.
"Alhamdulillah hari ini saya dijemput untuk mewakili kerajaan Malaysia bagi menghadiri Sambutan Hari Nordic 2023. Bagi saya secara peribadi, ia satu penghargaan dan sebelum ini saya pernah hadir sebagai Ahli Parlimen.
"Saya lihat ini juga adalah peluang yang baik untuk eratkan hubungan antara Malaysia dan ketiga-tiga negara yang menyambut Hari Nordic ini...dengan hubungan yang lebih erat, hubungan diplomatik yang lebih baik, saya percaya kita akan dapat cari peluang untuk melebarkan dan mengukuhkan lagi hubungan terutamanya dari segi perdagangan dua hala," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Nordic 2023, Khamis malam.
Turut hadir, Duta Finland ke Malaysia Sami Leino, Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom dan Duta Norway ke Malaysia Morten Paulsen.
Menurut Fahmi ini juga memberi peluang yang baik untuk bertukar pandangan tentang isu semasa termasuk geopolitik.
"Saya harap kehadiran saya hari ini menjadi satu tanda bahawa kerajaan berharap hubungan yang lebih baik dapat dijalin dengan kesemua negara Nordic ini," katanya.
Sementara itu, Leino dalam ucapannya mengakui hubungan rapat antara negara-negara Nordic dan Malaysia, yang telah berkembang pesat sejak bertahun lama.
Menurutnya hubungan dua hala itu merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan dan pembangunan lestari.
"Seperti yang mungkin ramai ketahui, negara-negara Nordic telah membentuk integrasi wilayah yang mungkin paling rapat di dunia. Kami mempunyai sejarah kerjasama yang panjang yang dibina atas nilai-nilai bersama dalam banyak isu global untuk meningkatkan kelestarian dan menggalakkan hak asasi manusia atau mengukuhkan peraturan berasaskan undang-undang antarabangsa.
"Sekurang-kurangnya di sini di Kuala Lumpur kami dapat meraikan Hari Kebangsaan bersama-sama, walaupun negara kami jauh dari segi geografi terdapat banyak persamaan atau kita menggunakan negara Nordic untuk berkongsi dengan Malaysia," katanya.
Beliau berkata dengan peperangan dan konflik di Ukraine dan Asia Barat, masyarakat antrabangsa perlu bersama dalam menyeru agar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa bagi Perlindungan Orang Awam dihormati.
"Undang-Undang Antarabangsa terpakai kepada semua dan setiap masa tanpa mengira konteks geografi," katanya.
-- BERNAMA
#hubungan diplomatik #hubungan erat #negara Nordic #Fahmi Fadzil
;