Hubungan erat Malaysia-Denmark tawar manfaat kepada tenaga kerja

Astro Awani
Disember 14, 2024 08:45 MYT
Ayop menyerahkan cenderahati NIOSH kepada Professor Keld Alstrup Jensen (berbaju biru) yang mewakili “National Research Center for the Working Environment” (NFA) Denmark ketika lawatan kerja ke Denmark pada bulan November lepas. - Gambar NIOSH
KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Malaysia menyambut baik pembukaan semula Kedutaan Denmark di Kuala Lumpur yang dijangka bakal memperkukuh hubungan strategik dua hala antara Malaysia dan Denmark, termasuk dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Selain mengeratkan hubungan diplomatik, pembukaan Kedutaan Denmark ini amat bermakna kerana ia turut membantu usaha NIOSH untuk memeterai kerjasama dalam bidang KKP dengan agensi terkemuka di Denmark terutamanya dalam bidang psikososial di tempat kerja.
NIOSH juga bakal mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Denmark ke Malaysia, Kirstine Vangkilde Berner, bagi memperincikan kerjasama di antara agensi berkaitan KKP kedua-dua negara termasuk menandatangani memorandum persefahaman dengan Pusat Penyelidikan Kebangsaan untuk Persekitaran Kerja (National Research Centre for the Working Environment - NFA) Denmark.
Awal bulan lepas, delegasi NIOSH telah dijemput untuk membentangkan kajian di Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 anjuran Pusat Penyelidikan Stres Copenhagen di Universiti Copenhagen, Denmark.
NIOSH telah membentangkan penyelidikan bertajuk “Electroencephalography (EEG) and Heart Rate Variability (HRV) Reactions Across Various Mental Health Therapies” yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Selain menyertai persidangan, delegasi NIOSH turut mengadakan lawatan kerja ke NFA Denmark bagi merangka kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran baharu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia termasuk isu berkaitan kesihatan mental.
Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Denmark ini akan memberi manfaat besar kepada tenaga kerja Malaysia menerusi perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik dalam bidang KKP dan kesihatan mental di tempat kerja.
“Pihak NIOSH juga akan menjemput agensi dan pakar dari Denmark untuk menyertai dan menarik lebih ramai rakan-rakan mereka dari Kesatuan Eropah untuk turut serta dalam persidangan KKP peringkat antarabangsa yang akan dianjurkan NIOSH sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun hadapan,” katanya.
Usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang psikososial pekerjaan juga selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menangani isu kesihatan mental, termasuk dalam kalangan penjawat awam, seperti yang diumumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Oktober lepas.
Beliau turut mendedahkan lebih 40,000 pegawai awam dikenal pasti berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan psikologi berdasarkan dapatan daripada Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang dilaksanakan sejak Mac hingga September 2024.
Bagi menyokong usaha kerajaan menangani isu kesihatan mental di tempat kerja, NIOSH telah berjaya melatih lebih 10,000 peserta dalam program khas yang dikenali sebagai Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA).
Program OPFA yang dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada 19 Februari 2024, bertujuan memperkasakan pekerja dengan kemahiran asas untuk menangani cabaran psikososial di tempat kerja dan membantu rakan sekerja yang menghadapi tekanan akut atau isu kesihatan mental.
#NIOSH #Malaysia-Denmark #tenaga kerja #keselamatan dan kesihatan pekerjaan
;