Hubungan erat keluarga mampu tangani jenayah seksual, sumbang mahram - Pemangku KP Kelantan
Vivi Sumanti
Julai 9, 2022 12:03 MYT
Julai 9, 2022 12:03 MYT
KOTA BHARU: Hubungan ibu bapa dan anak-anak dalam sesebuah keluarga amat penting dalam membina sebuah institusi keluarga bahagia yang dapat mencorak ke arah kehidupan sempurna.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, keluarga yang harmoni mampu membentuk tingkah laku baik bagi anak-anak kerana ia saling memberi kekuatan antara satu sama lain.
"Inilah bentuk hubungan yang sepatutnya ada dalam institusi keluarga kerana jika ada hubungan sebegini barulah anak-anak akan terdidik dengan baik.
"Di samping pengurusan keluarga yang mampu menangani cabaran, ia dapat mengekang gejala kurang sihat dan masalah sosial dalam kalangan remaja," ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, kes-kes berlaku sumbang mahram dan jenayah rogol dalam kalangan remaja antara lain berpunca dari institusi keluarga yang rapuh.
"Sebagai contoh, kes-kes sumbang mahram yang berlaku melibatkan anak dan bapa, adik-beradik, bapa saudara dan sebagainya berlaku dalam kelompok keluarga yang kadangkala terlepas pandang punca sebenar berlaku perkara itu.
"Tidak dinafikan masalah kewangan, kemiskinan, kurang kefahaman agama, kurang sikap kebertanggungjawaban dan sebagainya yang didorong nafsu dan penyalahgunaan dadah menjurus kepada perkara seumpama itu," katanya.
Kes-kes jenayah seksual seperti rogol dan sumbang mahram yang dilaporkan berlaku adalah membabitkan remaja belasan tahun yang masih mencari panduan dan kasih sayang dari ibu bapa.
"Apabila saya melawat hospital dan melihat ada antara remaja yang memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka di hospital, timbul keinsafan dalam diri saya bahawa dalam menjalani kehidupan, ia saling bergantungan.
"Dalam konteks pesakit kanser misalnya, kita melihat bagaimana ibu bapa menjaga dan memberi semangat kepada anak-anak mereka yang sakit dan begitu juga sebaliknya jika ibu bapa mereka yang sakit, yang menunggu dan meneman anak anaknya".
Terdahulu, Muhamad Zaki meluangkan masa menyantuni pesakit-pesakit kanser Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sempena Program Ziarah Prihatin Ketua Polis Kelantan.
Dalam lawatannya, Muhamad Zaki turut mengambil kesempatan menziarahi warga kerja PDRM Kelantan yang sedang dirawat di hospital tersebut.
Antaranya Superitendan Wan Zulfikri Wan Othman, Ketua Polis Daerah Tanah Merah yang sedang menjalani rawatan kerana sakit kanser usus.
Selain penyampaian sumbangan, lawatan itu juga sebagai ziarah tanda prihatin serta sokongan moral kepada pesakit untuk terus berjuang melawan penyakit masing-masing.
Tambahnya, dalam kemeriahan umat Islam ingin menyambut Hari Raya Aidiladha, pastinya akan memberi kesan secara psikologi dan emosi kepada setiap daripada mereka.