Hubungan dua hala Bangladesh-Malaysia diperkukuh pada Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa
Bernama
Februari 21, 2025 05:45 MYT
Februari 21, 2025 05:45 MYT
Md. Shameem Ahsan menyifatkan Malaysia sebagai model keharmonian dalam kepelbagaian komuniti linguistik. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md. Shameem Ahsan menekankan hubungan dua hala yang semakin erat antara Bangladesh dan Malaysia semasa memperingati sambutan 25 tahun Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa dan Hari Syuhada.
Ahsan menyifatkan Malaysia sebagai model keharmonian dalam kepelbagaian komuniti linguistik dan optimis mengenai usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Beliau mengimbas kembali lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangladesh pada Oktober lepas dan pertemuannya dengan Penasihat Utama Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, yang disifatkan sebagai titik penting dalam mempertingkat kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keterhubungan, serta industri halal.
"Lawatan itu, walaupun singkat, telah membawa hubungan dua hala kita ke tahap yang lebih tinggi.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meluaskan kerjasama di luar bidang tradisional, dan kita berada di landasan yang betul untuk merealisasikannya," katanya kepada Bernama pada majlis di sini pada Jumaat.
Ahsan turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat dan menyifatkan Malaysia sebagai contoh keharmonian dalam kepelbagaian bahasa, sekali gus membuktikan bahawa kepelbagaian budaya boleh menjadi faktor penyatuan dan bukan perpecahan.
"Malaysia adalah contoh bagaimana kepelbagaian boleh menjadi pemangkin perpaduan. Bahasa boleh menjadi alat yang berkuasa dalam memupuk keamanan, keharmonian dan keterangkuman," katanya.
Beliau turut mengimbas kembali sejarah serta kepentingan global Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang berakar umbi daripada perjuangan Gerakan Bahasa 1952 di Bangladesh.
Menurutnya, mahasiswa di Pakistan Timur ketika itu (kini Bangladesh) mengadakan protes aman menuntut pengiktirafan Bahasa Bengali sebagai satu daripada bahasa rasmi, namun perhimpunan mereka ditindas secara ganas sehingga mengorbankan nyawa. Namun, perjuangan itu telah mencetuskan semangat kemerdekaan yang akhirnya membawa kepada kelahiran Bangladesh pada 1971.
"Pengorbanan mereka untuk hak terhadap bahasa ibunda akhirnya mengubah Bangladesh menjadi negara merdeka. Kami memperingati hari ini dengan penuh penghormatan kerana ia adalah hari perjuangan dan pengorbanan," katanya.
Ahsan turut menekankan peranan penting Bangladesh dalam mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi sambutan ini, dengan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengisytiharkan 21 Februari sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada 1999.
Pada 2008, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengiktiraf kepentingannya menerusi Resolusi Budaya Keamanan.
"Pengisytiharan ini bukan sahaja penting untuk Bangladesh tetapi juga untuk semua bangsa dan komuniti bahasa di seluruh dunia.
Ia mengukuhkan hak setiap individu, di setiap pelusuk dunia, untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka," katanya.
Majlis di Kuala Lumpur itu dihadiri wakil dari 12 negara dan tetamu kehormat iaitu Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Tengah, Kementerian Luar Malaysia, serta beberapa kenamaan lain.
Acara itu turut menampilkan sesi perbincangan panel, tayangan dokumentari sempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa, dan persembahan kebudayaan pelbagai bahasa oleh misi diplomatik serta pertubuhan budaya di Kuala Lumpur.
Sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh turut menggesa masyarakat global untuk melindungi bahasa yang terancam dan mempromosikan kepelbagaian linguistik.
Majlis itu juga menyeru rakyat Bangladesh, khususnya yang berada dalam diaspora, untuk terus mewariskan bahasa ibunda mereka kepada generasi akan datang.
-- BERNAMA