Hubungan dua hala baik dengan empat negara dikunjungi buahkan hasil - PM Anwar

Bernama
November 21, 2024 16:00 MYT
Ketika berkongsi kejayaan itu, Anwar berkata ini boleh dilihat menerusi persetujuan Mesir untuk meningkatkan jumlah import sawit dari Malaysia serta menjadi pelabuhan bagi eksport produk sawit ke negara-negara Afrika yang berjiran dengannya. -Bernama
KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala Malaysia yang baik dengan empat negara -- Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil yang dikunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak hanya membuahkan hasil, malah turut memudahkan misi kerajaan bagi menarik perniagaan dan pelaburan baharu.

Ringkasan AI
  • Mesir bersetuju untuk meningkatkan jumlah import sawit dari Malaysia dan menjadi pelabuhan bagi eksport produk sawit ke negara-negara Afrika yang berjiran.
  • Proton mendapat sambutan baik di pasaran Arab dan Afrika, dengan pemasangan tempatan model Proton Saga di Mesir bermula Disember ini.
  • Di Brazil, Petronas mendapat lokasi cari gali baharu dengan sokongan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, menunjukkan pengiktirafan dan sokongan terhadap usaha Malaysia.

Ketika berkongsi kejayaan itu, Anwar berkata ini boleh dilihat menerusi persetujuan Mesir untuk meningkatkan jumlah import sawit dari Malaysia serta menjadi pelabuhan bagi eksport produk sawit ke negara-negara Afrika yang berjiran dengannya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Proton Holdings Bhd (Proton) pula mendapat sambutan baik di pasaran Arab dan Afrika, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan terutama menerusi usaha pemasangan tempatan model Proton Saga di Mesir bermula Disember ini.
"Di Brazil, Petronas (Petroliam Nasional Bhd) mendapat lokasi cari gali baharu apabila Presiden Luiz Inacio Lula da Silva sendiri memberi perakuan, tumpuan dan sokongan sejak setahun lepas.
"Begitu juga untuk syarikat Yinson Holdings Bhd dan sebagainya," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Berhubung kos lawatan kerjanya selama 11 hari ke empat negara terbabit bermula 9-19 November lepas, Anwar berkata ini dikongsi dengan syarikat-syarikat yang turut menyertai lawatan berkenaan.
BACA: Sebahagian besar kos lawatan kerja ke lima negara ditanggung GLC, swasta - PM
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai impak susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara-negara berkenaan serta kos ditanggung kerajaan bagi lawatan berkenaan.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Luiz Inacio Lula da Silva #Hubungan dua hala #lawatan rasmi #pelaburan
;