Hubungan diplomatik Malaysia-AS: Peluang baik buat kerajaan pulihkan ekonomi
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 15, 2021 12:47 MYT
Disember 15, 2021 12:47 MYT
KUALA LUMPUR: Lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken ke Malaysia dilihat sebagai satu peluang yang baik buat kerajaan untuk mendapat sokongan dari negara besar seperti Amerika Syarikat.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Martadha Mohamed berpandangan ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara selain menjalinkan hubungan diplomatik lebih erat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya lagi, lawatan ini adalah penting dalam menangani isu pencerobohan oleh negara-negara besar terhadap negeri kecil seperti Malaysia.
Ini akan meningkatkan kestabilan keselamatan apabila bantuan ketenteraan akan diberikan sekirnya ditimpa isu tersebut.
"Pertama saya melihat kesempatan usaha negara AS melawat Malaysia ketika ini merupakan satu peluang baik bagi kerajaan apatah lagi ketika negara berdepan pandemik, kita juga memerlukan sokongan dari negara besar seperti AS," katanya.
Selain itu jelas Dr Martadha, lawatan ini juga merupakan satu komitmen yang sangat baik terutamanya selepas berlaku perubahan kepimpinan Presiden Joe Biden yang menetapkan hala tuju dasar luar negara dan implikasinya terhadap rantau ASEAN.
"Ini satu komitmen yang sangat baik, apabila berlaku perubahan kepimpinan Biden maka hala tuju Amerika berubah.. ketika di bawah Trump, Amerika mencampuri hal ehwal urusan dunia, dan perseteruan dengan China, (sekali gus) ia memberi kesan kepada negara kecil.
"Perubahan kepimpinan yang diterajui oleh Joe Biden mengubah hala tuju dasar luar Amerika dan memberi kesan dan impilkasi kepada rantau ASEAN," ulasnya.
Pada masa sama, Dr Martadha turut berpendapat lawatan ini dapat meningkatkan keyakinan pelabur besar dari Amerika Syarikat ke negara ini untuk memulihkan ekonomi negara.
Jelasnya, sebagai permulaan, persetujuan dari sudut penghasilan vaksin adalah sangat baik memandangkan Amerika Syarikat lengkap dengan teknologi berkuasa tinggi.
Terdahulu Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengadakan sidang media bersama Blinken hari ini.
Lawatan sulung beliau ke Malaysia itu adalah seiring lawatan rasminya ke rantau Asia Tenggara dari 13 hingga 16 Disember yang turut merangkumi Indonesia dan Thailand.