Hubungan dingin AS-China: Malaysia ambil pendekatan neutral - PM Anwar

Nabilah Khaleeda
Mei 23, 2024 14:19 MYT
Perdana Menteri ketika sesi soal jawab mengenai persaingan yang semakin meningkat antara AS dan China di Persidangan Nikkei Masa Depan Asia ke-29, di sini hari ini. - Foto Bernama
TOKYO: Malaysia mengambil pendirian untuk tidak akan menyebelahi mana-mana pihak susulan ketegangan yang berlaku dalam hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia juga tidak akan terlibat dengan mana-mana pemikiran 'perang dingin' tersebut, sebaliknya mengambil pendekatan ‘sangat neutral’ mengenainya.
"Tiada sesiapa, tiada negara harus menentukan (apa yang harus dilakukan oleh negara lain).
“Kami memutuskan apa yang terbaik untuk negara Malaysia," katanya.
Anwar berkata demikian ketika sesi soal jawab mengenai persaingan yang semakin meningkat antara AS dan China di Persidangan Nikkei Masa Depan Asia ke-29, di sini hari ini.
Tambah beliau, AS telah menjadi sekutu tradisional kepada Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957.
“Secara kumulatif, AS masih rakan dagang dan pelabur terbesar di Malaysia, dan mereka sangat agresif dalam mempromosikan pelaburan.
"Oleh itu, semua pemain besar di AS dialu-alukan untuk melabur di Malaysia," katanya lagi.
Pada masa sama, Anwar berkata Malaysia mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan China yang kian mapan.
"Saya tidak mempunyai dasar ‘China-phobia’.
“Justeru harapan kami adalah agar China dan AS dapat menyelesaikan perselisihan mereka, dan menghormati sikap daya saing masing-masing.
“Tetapi ia bergantung kepada pemimpin dan penggubal dasar mereka untuk membuat keputusan,” ulasnya.
Sama seperti AS, Anwar menyifatkan China sebagai negara jiran penting yang terlalu dekat dan strategik untuk diabaikan.
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #hubungan dingin Amerika Syarikat #bersikap neutral #Persidangan Nikkei #Tokyo #Jepun
;