Hubungan Bersatu - UMNO: "Alangkah baik jika semua pemimpin Melayu, Islam dapat bersatu" - Muhyiddin
Fareez Azman
November 28, 2020 15:50 MYT
November 28, 2020 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru kepada semua pemimpin Melayu dan Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, jika berpecah belah, jelas Muhyiddin, seruan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.
"Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan mengajak saudara-saudari sekalian supaya melihat maslahah yang lebih besar, kepentingan yang lebih utama. Alangkah baiknya jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah belah dalam kabilah-kabilah kecil yang melemahkan kita.
"Ya, jika kita hanya memikirkan kepentingan kabilah kita, kelompok kita, parti kita, maka selama-lamanyalah kita akan berpecah belah. Seruan perpaduan Melayu, penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata. Malay unity will always remain an elusive dream. It will never materialize in our lifetime," katanya.
Muhyiddin menyampaikan seruan berkenaan ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.
Bersatu dan UMNO juga, jelasnya, pernah menjadi seteru politik di dalam Pilihan Raya Umum ke-14, (PRU14) namun telah ditakdirkan menjadi rakan sekutu sehingga tertubuhnya Perikatan Nasional (PN).
"Tetapi dalam keadaan yang mencabar ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk berfikir sejenak. Cuba kita renungkan. Fikir dalam-dalam.
"Adakah takdir Allah SWT yang mempertautkan Bersatu dan UMNO, termasuk juga Pas, dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya? Tidakkah kita terfikir bahawa Allah SWT sebenarnya sedang menguji kita?" tegas Muhyiddin lagi.
Beliau mengingatkan perwakilan bahawa kemelut yang melanda di antara Bersatu dan UMNO merupakan ujian daripada Allah SWT.
Justeri, dalam mengharungi ujian itu, Presiden Bersatu itu menegaskan, peluang tersebut harus direbut dalam usaha mengukuhkan penyatuan antara dua parti itu.
“Inilah masanya untuk semua pemimpin Melayu mengenepikan perbezaan politik dan bangkit mempertautkan hubungan silaturrahim dalam semangat ukhwah dan mahabbah demi maslahah yang lebih besar, iaitu penyatuan umat Melayu di negara ini, Insya-Allah.
"Saya percaya penyatuan umat Melayu akan mewujudkan kestabilan politik di negara ini yang pastinya akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat," katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin
#PPBM
#UMNO
#PAS
#Perhimpunan Agung Tahunan
#Bersatu
#perpaduan
#Penyatuan Ummah
#Hubungan politik
#Pemimpin Melayu dan Islam