Hubungan baik Malaysia-Arab Saudi buka lebih banyak peluang kerjasama
Bernama
Januari 4, 2016 21:15 MYT
Januari 4, 2016 21:15 MYT
Hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Arab Saudi telah membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor-sektor teras seperti ekonomi dan pendidikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerjasama itu akan membawa banyak faedah untuk negara dan rakyat Malaysia dan Arab Saudi.
"Kerajaan Arab Saudi telah banyak memberi bantuan kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai perkara termasuklah kemudahan visa, pemindahan kecemasan pelajar dan lain-lain," katanya dalam blog beliau www.najibrazak.com hari ini.
Najib mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi mulai Jumaat lepas.
Sempena lawatan itu, beliau mengambil peluang menunaikan umrah, melawat Knowledge Economic City, Dar Al Madinah Urban, Built Heritage Museum dan bertemu penuntut serta golongan profesional Malaysia di Jeddah dan Makkah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya mengamalkan konsep Wasatiyyah yang bercirikan keistimewaan Islam yang dirujuk sebagai sederhana, pertengahan dan tidak melampau.
"Bersama-samalah kita mengamalkan konsep Wasatiyyah kerana ia adalah konsep yang bersandarkan kepada sejarah Nabi Muhammad SAW dalam menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar," kata beliau.
Najib berkata umat Islam harus bersatu dan mendukung usaha penyatuan serta tidak berbalah antara satu sama lain.
Mengulas lawatan itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaannya kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu dan memberi layanan baik kepada delegasi Malaysia.
Mengenai pertemuannya dengan penuntut dan profesional Malaysia di sana, beliau mendoakan agar mereka semua sentiasa dirahmati Allah SWT dan cemerlang dalam pendidikan dan pekerjaan masing-masing.