Hubungan baik dua negara dorong kerjasama Darphane, Ultimate Print
Sinar Harian
November 7, 2024 18:10 MYT
November 7, 2024 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan baik antara Turkiye dan Malaysia menjadi pendorong utama kepada kerjasama antara Darphane dan Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate Print).
Ringkasan AI
- Hubungan baik antara Turkiye dan Malaysia mendorong kerjasama antara Darphane dan Ultimate Print untuk memperkukuh hubungan sedia ada melalui pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu dalam percetakan keselamatan.
- Ultimate Print mempunyai keupayaan besar dalam percetakan dan kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang teknologi untuk menghasilkan percetakan keselamatan bertaraf antarabangsa.
- Kerjasama ini dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan Malaysia, membolehkan Ultimate Print menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di rantau ini.
Ketua Pengarah Darphane, Abdullah Yasir Sahin berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan sedia ada.
“Umum mengetahui, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki hubungan kuat, jadi kita (Darphane) hanya mahu jadikan ia sebagai nilai tambah.
“Sehubungan itu, kami telah pun melawat syarikat tempatan (Ultimate Print) yang menjadi rakan strategik dengan Darphane untuk melihat kemudahan percetakan di sana,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ultimate Print dan Darphane pada Khamis.
Hadir sama sewaktu majlis ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub serta Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print, Azizi Fickry.
Tambah Abdullah Yasir, Ultimate Print mempunyai keupayaan untuk menghasilkan percetakan keselamatan bertaraf antarabangsa walaupun wujud perbezaan teknologi.
Justeru, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk berkongsi teknologi, pengalaman, maklumat dan keupayaan tentang percetakan berkenaan.
“Kami melihat Ultimate Print mempunyai keupayaan yang besar dalam percetakan walaupun terdapat jurang ke arah penghasilan percetakan keselamatan.
“Oleh itu, kami mahu merapatkan perbezaan tersebut melalui kerjasama yang lakukan pada ketika ini,” ujarnya.
Ultimate Print dan Darphane menandatangani MoU bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama memajukan industri teknologi percetakan di Malaysia.
Objektif perjanjian tersebut untuk membina hubungan formal antara kedua-dua entiti perniagaan berkenaan.
Selain itu, kerjasama tersebut dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan negara ini.
Menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan inovasi, sekali gus membolehkan Ultimate Print menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di rantau ini.
Sebagai rekod, Ultimate Print merupakan sebuah syarikat percetakan unggul di Malaysia dengan pengalaman lebih 30 tahun yang menyediakan perkhidmatan percetakan buku, digital, pembungkusan, akhbar dan al-Quran.
Sementara Darphane pula merupakan sebuah firma milik kerajaan Turkiye di bawah Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan yang ditubuhkan pada 1467 sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.
Firma itu berpangkalan di Istanbul itu bertanggungjawab mengendalikan penghasilan syiling, wang kertas, cop mohor rasmi, pingat dan setem hasil. -Sinar Harian