Huawei Mate 9: Phablet berkuasa dengan kamera Leica
Amanz
November 14, 2016 19:15 MYT
November 14, 2016 19:15 MYT
HUAWEI adalah jenama yang tidak asing lagi dalam pengeluaran dan pemasaran telefon pintar. Terkini, mereka menambah satu lagi penawaran baru di bawah telefon pintar 'phablet', iaitu Huawei Mate 9.
Huawei Mate 9 hadir dengan skrin 5.9-inci, membolehkan pengguna membuat tugasan, menikmati media, mahupun permainan melaluinya pada paparan yang sangat besar.
Huawei menggunakan cip pemprosesan yang dikeluarkan sendiri, iaitu Kirin 960, dan menyatukannya dengan memori 4GB RAM.
Pada bahagian kamera, Huawei menggunakan kejuruteraan daripada Leica. Hasilnya, Mate 9 membolehkan anda merakamkan gambar hitam putih dengan lebih jelas, selain menghasilkan gambar berwarna yang kemas.
Huawei menggunakan gabungan sensor 12-megapixel dan 20-megapixel pada bahagian belakang telefon pintar Mate 9 ini.
Huawei menggunakan bateri berkapasiti 4000mAh, dan pertama kalinya, Huawei menggunakan sokongan pengecasan pantas dinamakan Huawei Super Charge. Menjana peranti ini juga adalah sistem operasi Android 7.0 Nougat dengan EMUI 5.0.
Huawei memfokuskan segmen perusahaan dan pengguna professional melalui siri Mate ini. Huawei Malaysia mengesahkan akan melancarkannya secara rasmi di Malaysia pada penghujung November 2016 ini.