HTN 2024: TVET MADANI sebagai laluan kerjaya utama

Farhan Hakimi
Jun 8, 2024 10:10 MYT
Seorang pelajar menunjukkan bakatnya mengendalikan robot semasa hari pertama sambutan HTN 2024 pada Jumaat di ILP Kuala Langat, Banting. - Foto Sinar Harian
KUALA LANGAT: TVET MADANI mengintegrasikan nilai-nilai madani dalam sistem pendidikan teknikal dan vokasional.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa), Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli, TVET MADANI merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan sistem pendidikan sebagai salah satu laluan kerjaya utama kepada graduan.
Jelasnya, Kementerian Sumber Manusia berhasrat untuk menghasilkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara holistik dan mampan.
"Sejak 1964 kita memang iktiraf TVET dan dalam Kerajaan MADANI kita nak tingkatkan TVET sebagai salah satu laluan kerjaya utama.
"Kita juga lihat sekarang ini pelajar banyak pergi aliran akademik, apabila keluar dari akademik mereka mencari tempat dan bila mencari tempat peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran.
"TVET sebenarnya beri latihan kemahiran kepada semua golongan bukan sahaja lepasan SPM tetapi graduan yang keluar universiti untuk meningkatkan kemahiran melalui TVET.
"Jadinya apabila mereka ada peluang untuk menceburi bidang kemahiran, negara boleh melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai sektor yang berbeza," ujarnya.
Katanya lagi, pada masa sama, sebagai pemudah cara bagi pelajar memohon untuk kemasukan insitusi TVET, ia diselaraskan melalui satu saluran sahaja iaitu Unit Pengambilan TVET (UP_TVET).
"UP_TVET ini, pelajar boleh mohon ke universiti dan ke institut latihan melalui UPU online.
"Permohonan di UP_TVET adalah berdasarkan pilihan kursus dan institusi TVET yang diminati.
"Salah satu ciri istimewa UP_TVET adalah ia menggunakan konsep bidaan di mana institusi-institusi akan menawarkan kursus kepada calon menerusi sistem UP_TVET setelah proses penilaian dan semakan calon dilakukan.
"Sejak dilancarkan porjek rintis, sudah nampak permintaan penawaran lebih ramai," katanya.
AWANI Pagi: Hari TVET Negara 2024
Jelasnya lagi, calon turut berpeluang untuk ditawarkan lebih dari satu kursus dan pada akhirnya, calon sendiri yang akan membuat keputusan untuk bersetuju terima dengan satu tawaran dari institusi TVET.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi pada Sabtu sempena sambutan Hari TVET Negara yang diadakan pada 7 dan 8 Jun di ILP Kuala Langat.
#TVET MADANI #Norison Ramli #Kerajaan Madani #pelajar
;