HTAR siasat kematian kanak-kanak 10 tahun
Bernama
Julai 14, 2023 15:20 MYT
Julai 14, 2023 15:20 MYT
SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.
Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya merujuk kepada video yang tular menerusi aplikasi TikTok berkaitan perkara tersebut.
Beliau berkata kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lepas.
"Keadaan pesakit (kanak-kanak) semasa di HTAR dalam keadaan lemah. Pesakit telah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun, pesakit tidak dapat diselamatkan.
"Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR," katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Zulkarnain, pihaknya bersimpati dengan perkara dilalui keluarga Allahyarham dan akan berhubung dengan pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut mengenai kes itu.
-- BERNAMA