HSR boleh dihidupkan semula dengan penyertaan sektor swasta - Anwar
Madiha Abdullah
Januari 7, 2025 14:55 MYT
Januari 7, 2025 14:55 MYT
PUTRAJAYA: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura hanya boleh dihidupkan semula dengan penyertaan penuh daripada entiti swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghadapi beberapa kekangan, termasuk isu lain yang belum diselesaikan dan mesti diutamakan demi kepentingan rakyat.
Katanya, kerajaan sudah meneliti beberapa cadangan, namun tidak memberikan sebarang butiran.
"Kedudukan kita adalah, sudah tentu untuk menjemput penyertaan sektor swasta. Kerajaan mempunyai limitasi dengan isu pengawalseliaan kualiti, tebatan banjir, infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan awam adalah keutamaan, sekurang-kurangnya untuk satu atau dua tahun akan datang.
"Jadi, projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen kita untuk menyelesaikan beberapa isu tertunggak seperti infrastruktur asas, pendidikan dan kesihatan.
"Kami juga masih menunggu beberapa cadangan yang berpotensi dari penyertaan sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, yang berkunjung ke negara ini untuk menghadiri mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura.
Sementara itu, Wong mengekalkan pendirian Singapura bahawa ia terbuka untuk mendengar cadangan baharu daripada Malaysia tentang HSR.
"Malangnya kita tidak dapat meneruskan cadangan asalnya, tetapi kami terbuka untuk mendengar cadangan baharu dari Malaysia, bermula dari awal. Jadi itu pendirian kami.
"Kerana pada pendapat kami, capaian yang lebih baik antara kedua-dua negara sentiasa menjadi keutamaan. Jadi itulah pendirian kita," katanya.
Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa dasar kerajaannya adalah untuk memastikan projek itu diketuai oleh konsortium yang sekurang-kurangnya 51 peratus milik rakyat Malaysia.