HSBC Taman Molek beri penghormatan kepada pekerja terbunuh
Astro Awani
April 20, 2015 09:05 MYT
April 20, 2015 09:05 MYT
Bank HSBC cawangan Taman Molek akan ditutup pada hari ini dan esok, bagi memberi penghormatan kepada pekerjanya yang terbunuh dalam satu insiden amuk baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan pagi ini, HSBC turut meluahkan rasa dukacitanya di atas kejadian tragis di cawangannya di Johor itu yang turut menyebabkan seorang lagi pekerjanya cedera.
“Fikiran kami kini bersama keluarga si mangsa. Kami kini menyediakan sokongan dan bantuan kepada pekerja yang terlibat dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu.
Pada Jumaat lepas, seorang pegawai bank, Ho Chin Tau, 33, maut ditikam manakala rakan sekerja wanitanya yang berumur 54 tahun cedera dilibas oleh seorang pengawal keselamatan yang mengamuk secara tiba-tiba.
Pengawal keselamatan tersebut dikatakan telah bekerja di bank itu sejak Januari 2014.
Suspek yang berumur 44 tahun itu telah ditahan polis pada hari yang sama dengan bantuan orang ramai. Dia dilaporkan tiada rekod jenayah dan juga bukan seorang penagih dadah.
Bapa kepada suspek, ketika ditemuramah Bernama di rumahnya di Bandar Baru Uda di Johor Baru, berkata anaknya yang masih bujang itu tidak menunjukkan kelakuan pelik sebelum keluar bekerja, cuma dia kerap menyendiri dan kadang-kala bercakap sendirian sejak kebelakangan ini.
Suspek yang merupakan anak kelima daripada enam beradik kini di dalam reman polis untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.