HSB kurangkan pembedahan bukan kecemasan, utamakan kes COVID-19

Bernama
Ogos 7, 2020 22:26 MYT
Pengendalian kes kecemasan berjalan seperti biasa manakala janji temu klinik pakar akan dijadualkan semula. - Gambar fail
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan mengurangkan kes pembedahan bukan kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi memberi keutamaan kepada usaha menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Fikri Ujang berkata bagaimanapun pengendalian kes kecemasan berjalan seperti biasa manakala janji temu klinik pakar akan dijadualkan semula.
Pada masa sama Hospital Kuala Nerang telah diaktifkan bagi menerima pertambahan kes ibu bersalin yang dijadualkan di HSB.
Bagaimanapun ini hanya untuk kes bersalin secara normal, manakala bagi kes yang ada komplikasi akan dikendalikan oleh HSB, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengenai pesakit yang perlu menyambung bekalan ubat, khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, Dr Mohd Fikri berkata bekalan ubat mereka akan disalurkan ke klinik berhampiran.
Beliau turut menggalakkan pesakit di kawasan lain memanfaatkan kemudahan seperti penghantaran ubat melalui perkhidmatan pos dengan menghubungi Bahagian Farmasi HSB untuk tujuan itu.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan dijangka selesai menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penduduk di kawasan PKPD secara pentadbiran esok.
-- BERNAMA
#Hospital #Hospital Sultanah Bahiyah #HSB #Kedah #Kementerian Kesihatan #kesihatan #koronavirus #pandemik #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD
;