HRD Corp: KESUMA lantik juruaudit profesional pihak ketiga demi ketelusan

Bernama
Julai 10, 2024 05:11 MYT
Steven Sim berkata KESUMA telah diarah menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi mengaudit Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp), demi menjamin ketelusan dalam audit bebas, kata menterinya Steven Sim Chee Keong

Ringkasan AI
  • Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi mengaudit Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) demi memastikan ketelusan, susulan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023.
  • KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit tersebut, dijangka selesai selewat-lewatnya 31 Julai ini, dan audit bebas akan dijalankan selari dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta pihak berkuasa lain.
  • HRD Corp diarahkan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkaitan, sementara pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kesuma akan memantau siasatan, meneliti laporan-laporan JAN dan PAC, serta memastikan tindakan susulan dan penambahbaikan dilaksanakan.

Beliau berkata ia susulan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023.
Sim berkata KESUMA telah diarah menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp, yang akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang, serta sebarang garis panduan berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC.
"KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya 31 Julai ini.
"Tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan, bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sim berkata audit bebas itu akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.
Selain itu beliau berkata HRD Corp telah diarah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan.
Beliau berkata satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudah cara siasatan-siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan-laporan JAN dan PAC, termasuk hasil siasatan SPRM serta audit bebas.
Sim berkata pasukan itu seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya.
Pada 4 Julai lepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mengesyorkan KESUMA supaya merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Sementara itu PAC turut mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
-- BERNAMA
#KESUMA #HRD Corp #juruaudit luar #Steven Sim