HRD Corp kekal komited tingkat kemahiran dan kebolehpasaran pekerja di Malaysia
Haikal Raman
Mei 21, 2023 11:17 MYT
Mei 21, 2023 11:17 MYT
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) terus komited dalam memastikan aspirasi dan jaminan pembangunan bakat di Malaysia kekal seiring dengan kehendak industri pekerjaan semasa dan rintang terhadap cabaran masa hadapan.
Menggalas tanggungjawab selaku agensi pusat bagi semua program pembangunan modal insan untuk seluruh warga Malaysia, HRD Corp setakat 30 April lalu menyaksikan pendaftaran sebanyak 84,000 majikan dengan melibatkan lebih 4.4 juta pekerja.
Ketua Pegawai Pelanggan HRD Corp, Wan Yon Shahima Wan Othman berkata, terdapat kesedaran terhadap kepentingan latihan dan pembangunan modal insan dalam kalangan majikan ketika ini.
Justeru, sekiranya mereka ingin mengekalkan bakat pekerja pada tahap terbaik, syarikat perlu melabur dalam pembangunan profesional mereka.
“Maka, sebab itu, Dana Pembangunan Sumber Manusia adalah penting. Dan dengan mendaftar bersama kami, ia membolehkan majikan meningkatkan bakat pekerja sedia ada untuk memenuhi keperluan masa hadapan.
“Ia tidak hanya memberi kesan kepada peningkatan produktiviti, malah turut membuka peluang kepada cabang perolehan baharu.
"Manakala dari perspektif pekerja, pembangunan modal insan ini dapat meningkatkan kemahiran dan nilai tambah terhadap kebolehpasaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.
Kaji selidik dijalankan Randstad Workmonitor pada tahun lalu menunjukkan 97 peratus rakyat Malaysia berminat terhadap peluang dalam pembangunan dan pembelajaran serta kira-kira empat daripada lima responden melihat elemen latihan dan pembangunan sebagai sebahagian daripada progres kerjaya mereka.
Malah, hasil kajian dilaksanakan Bank Dunia turut menunjukkan satu peratus latihan kepada kakitangan bersamaan peningkatan tiga peratus produktiviti dalam kalangan majikan yang berdaftar dengan HRD Corp.
Ia memberi kesan positif dan manfaat yang baik kepada perniagaan.
Menurut Wan Yon Shahima, permintaan industri ketika ini telah berubah secara dramatik dan di peringkat global, sejak beberapa tahun lalu, lebih tertumpu kepada pendigitalan. Oleh yang demikian, pasaran memerlukan pekerja berkemahiran tinggi dan pelbagai.
“Negara kita bertuah kerana mempunyai ekosistem latihan bakat yang berstruktur dan kami di HRD Corp kekal komited dalam meningkatkan serta memperkasakan ekosistem ini mengikut keperluan industri semasa.
“Kami mempunyai pelbagai skim dan program yang boleh dipilih oleh majikan dalam memenuhi keperluan mereka.
"Malah terdapat lapan skim yang dibenarkan membuat tuntutan termasuk latihan kepada bakal pekerja, latihan semasa bekerja, skim latihan industri serta latihan berasaskan komputer dan teknologi maklumat,” ujarnya.
Bagi menjadi sebahagian daripada ekosistem latihan berstruktur, para majikan boleh mendapat maklumat lanjut dan mendaftar menerusi laman web rasmi di www.hrdcorp.gov.my