HRD Corp: Inisiatif kursus pembangunan keluarga guna caruman levi majikan diteruskan - PM

Faida Rahim
November 9, 2024 11:30 MYT
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ketika membacakan teks itu turut memaklumkan tawaran berkaitan kursus terbabit dibuka sepanjang November tahun ini.
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan meneruskan inisiatif pembiayaan kursus-kursus bertemakan pembangunan keluarga menggunakan caruman levi majikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kursus ini termasuk tema keibubapaan dalam kalangan pekerja sektor swasta.
“Saya amat menyokong inisiatif ini dan mengharapkan lebih banyak majikan akan menghantar pekerja mereka untuk menghadiri kursus-kursus pembangunan keluarga dan kemahiran keibubapaan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK 2024) di Taman Botani, di sini, pada Sabtu.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ketika membacakan teks itu turut memaklumkan tawaran berkaitan kursus terbabit dibuka sepanjang November tahun ini.
Mengulas lanjut, katanya pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) termasuk program pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan di seluruh negara.
Ujar beliau lagi, sepanjang November ini, kerjasama strategik dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mengarahkan semua agensi di bawahnya termasuk pengusaha pelancongan menawarkan pakej istimewa percutian keluarga.
Katanya, ini termasuk hotel dan inap desa, Persatuan Taman Tema dan Persatuan Peniaga-Peniaga.
“Tidak terkecuali saya juga sarankan syarikat penerbangan turut sama memberi pakej keluarga bagi mana-mana destinasi percutian keluarga.
“Saya percaya usaha ini akan mampu semarakkan lagi masa berkualiti bersama keluarga kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.
#HRD Corp #Anwar Ibrahim #Wan Azizah Wan Ismail #MOTAC
;