HRD Corp: Acara NHCCE 2023 diperluaskan bagi siri Borneo Julai ini
Haikal Raman
Jun 30, 2023 12:22 MYT
Jun 30, 2023 12:22 MYT
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meneruskan misi dalam memperkasakan modal insan dengan mengadakan siri Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 ke wilayah Borneo.
NHCCE 2023 edisi Borneo tersebut akan berlangsung selama dua hari bermula 4 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Sabah.
Ketua Pegawai Strategi HDR Corp, Rony Ambrose Gobilee berkata, pihaknya percaya bahawa setiap wilayah di Malaysia perlu ada pelan-pelan pembangunan yang kukuh disokong oleh modal insan terbaik yang boleh ditawarkan industri.
“Hanya dengan langkah ini, negara kita dapat membangun dengan makmur secara keseluruhan dan seimbang serta mampu memastikan tiada siapa yang ketinggalan di belakang.
“Setiap wilayah mempunyai cabaran serta peluang tersendiri apabila melibatkan persekitaran perniagaan dan nilai modal insan yang mereka sediakan.
"Oleh demikian, kami mengharapkan siri kali ini dapat membantu membuka potensi sumber manusia di wilayah Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI di sini baru-baru ini.
Sejak tema HR 5.0 mendapat sambutan menggalakkan pada acara sebelum ini, NHCCE 2023 akan meneruskan usaha mengangkat agenda HR 5.0 di setiap liputan wilayah selaras dengan fokus Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan mampan dan inklusif.
Dalam masa sama, menurut Rony, wilayah Borneo merupakan sebuah ekonomi penting negara dengan kepelbagaian sumber asli termasuk minyak dan gas, kayu balak, minyak sawit dan mineral.
“Dalam masa sama, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) juga diyakini mampu meningkatkan status ekonomi bagi wilayah ini.
"Justeru, Borneo perlu bersedia dalam menerima limpahan pelaburan langsung masuk serta fasa transformasi ekonomi negeri.
“Inisiatif penganjuran NHCCE 2023 siri wilayah Borneo dilihat tepat pada masanya yang turut bakal membuka perbincangan yang bermakna terhadap isu pembangunan modal insan di sini.
"Ia juga mempercepatkan usaha mewujudkan modal insan yang kukuh di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Menerusi pelaksanaan NHCCE 2023, HRD Corp berharap ia dapat mewujudkan ekosistem latihan yang berterusan dan menghubungkan keseluruhan sumber manusia di negara ini dengan program Latihan sebenar.