HQE 2, UMS berjaya lakukan pembedahan otak pesakit sedar penuh

Bernama
Januari 15, 2023 05:30 MYT
Pembedahan itu usaha Pakar Bedah Otak HQE 2 iaitu Dr M Sofan dan Dr Hezry, bersama Dr Yeap, serta Dr Liew Boon Seng. - Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar penuh iaitu yang pertama seumpamanya dijalankan di negeri ini pada Khamis (12 Jan).
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata pembedahan secara sedar atau 'awake craniotomy' itu dijalankan di Dewan Bedah HQE 2 di sini.
Katanya pembedahan itu usaha Pakar Bedah Otak HQE 2 iaitu Mr (Dr) M Sofan Zenian dan Mr (Dr) Hezry Abu Hasan, bersama Pakar Bius Otak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS Dr Yeap Boon Tat, serta Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak Hospital Sungai Buloh Mr (Dr) Liew Boon Seng.
"Persiapan dan perbincangan rapi di antara HOE 2, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan UMS telah dimulakan sejak November 2022 bagi melaksanakan pembedahan ini.
"Pesakit merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap 'multiple meningioma' di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di HDOK Sandakan," katanya menerusi kenyataan semalam.
Menurut kenyataan itu keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik 'awake craniotomy' bertujuan untuk merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan lebih baik yang pesakit sebelum ini berdepan keadaan klinikal dan gejala yang teruk.
Pembedahan otak 'awake craniotomy' diperkenalkan di dunia sejak awal tahun 2000 dan pembedahan ini telah dimulakan di Malaysia sejak awal 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
-- BERNAMA
#Hospital Queen Elizabeth 2 #pembedahan otak #Universiti Malaysia Sabah #pembedahan secara sedar
;