HPU914: Timbalan Presiden Pas sampaikan khutbah Jumaat di Menara Dato' Onn
Irwan Muhammad Zain, Firdaus Azil
September 13, 2019 14:12 MYT
September 13, 2019 14:12 MYT
Buat pertama kalinya khutbah Jumaat di surau Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) disampaikan oleh pemimpin utama Pas.
Khutbah bertajuk ‘Iktibar Kehilangan Kuasa Umat Islam’ disampaikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tajuk khutbah itu dipilih sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) anjuran bersama UMNO dan Pas yang bermula hari ini, dan akan berakhir dengan majlis mementerai piagam kerjasama kedua parti pada Sabtu.
Program bermula seawal pagi Jumaat dengan Himpunan Wanita Penyatuan Ummah (HWPU 913) di di Dewan Tun Razak 3, PWTC.
Program dimulakan dengan Solat Dhuha, Hajat dan Zikir Gelombang Munajat Perdana yang dipimpin oleh Ketua Dewan Muslimat Pas Nuridah Salleh.
Satu forum Tadabbur Surah As-Saff bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang bertindak sebagai moderator dan Nuridah serta Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai ahli panel.
Pergerakan Puteri UMNO dan Ameerah Malaysia pula menganjurkan program Pentas Anak Muda selepas forum tersebut berakhir.
Pergerakan Pemuda UMNO dan Pas pula dijadualkan mengajurkan sesi townhall dan muzikal ummah selain program wacana intelektual penyatuan ummah anjuran yang dianjurkan Penerangan UMNO dan Pas.
Tumpuan hari ini sudah pastinya ke arah ceramah perdana oleh Timbalan Presiden kedua-dua parti, yang akan diadakan bermula pukul 9 malam nanti.