HPTN hargai peranan profesion teknikal, fokus generasi muda penggerak ekonomi
Kenyataan Media
November 8, 2024 15:57 MYT
November 8, 2024 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) pada Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun adalah untuk menghargai dan mengiktiraf peranan penting tenaga kerja teknikal semua peringkat atas sumbangan besar mereka terhadap kemajuan dan pemodenan negara.
Ringkasan AI
- HPTN menghargai peranan penting tenaga kerja teknikal dalam kemajuan dan pemodenan negara, meliputi bidang seperti kejuruteraan, sains, teknologi, dan pembinaan.
- HPTN menekankan pembangunan modal insan yang dinamik dan komprehensif, dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi untuk memperkasakan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
- Acara kemuncak HPTN 2024 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 11-12 Disember dengan tema Profesion Teknikal Peneraju Kecemerlangan Teknologi, mempromosikan teknologi dan inovasi terkini.
Penghargaan ini meliputi pelbagai bidang antaranya kejuruteraan, astronomi, sains, teknologi, pembinaan, senibina, ukur dan sebagainya yang mana HPTN merupakan hari khusus yang telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 3 Oktober 2018.
HPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya meletakkan fokus kepada generasi muda yang merupakan penggerak kepesatan ekonomi dan pemangkin masa depan negara menerusi pembangunan modal insan yang dinamik dan komprehensif.
Dalam pada itu, HPTN merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk memberi pendedahan dan seterusnya melahirkan tenaga mahir di kalangan generasi muda untuk menceburi bidang teknikal.
Mengulas lanjut dalam satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi di bawahnya sentiasa menyokong pemerkasaan Latihan dan Pendidikan untuk bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyediakan ekosistem yang positif untuk melahirkan pakar-pakar teknikal berkemahiran tinggi, dedikasi dan inovatif.
HPTN turut menyediakan platform kepada profesion teknikal untuk berkongsi pandangan dan pengalaman, serta idea-idea bernas dalam bidang teknikal di samping berpeluang menjalin rangkaian (networking) untuk berinteraksi sesama mereka, bakal pelanggan dan potensi majikan bagi meningkatkan martabat dan taraf Profesion Teknikal.
Sehubungan itu, sambutan kemuncak HPTN 2024 kali ini akan berlangsung di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 11-12 Disember 2024 dengan tema “Profesion Teknikal Peneraju Kecemerlangan Teknologi”.
Tema ini bertepatan dengan aspirasi dan usaha untuk mempromosi penggunaan teknologi dan produk inovasi teknikal terkini yang boleh menjadi ‘game changer’ kepada pemain industri contohnya teknologi kecerdasan buatan (AI), robotik dan drone yang mampu mengubah lanskap ekosistem profesen teknikal masa hadapan.
Ia juga dapat membuat anjakan paradigma terhadap profesion teknikal yang sentiasa disinonimkan dengan pekerjaan 3D iaitu Dirty, Dangerous and Difficult.
Orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan sambutan HPTN 2024 di samping mendapatkan maklumat dan pengetahuan berkenaan industri dan peluang untuk terlibat dalam profesion teknikal.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari pautan https://hptn-my.com/ atau melalui media sosial rasmi HPTN 2024.