HPK: Perkasa pengguna depani era digitalisasi - Ismail Sabri
Madiha Abdullah
Mac 26, 2022 18:30 MYT
Mac 26, 2022 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Dengan perkembangan pesat e-dagang terutamanya dalam era pandemik, pengguna masa kini perlu lebih bijak dalam mengendalikan apa sahaja bentuk transaksi dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses digitalisasi pengguna ketika ini secara tidak langsung memerlukan pengguna yang bijak dan berdaya upaya bagi memastikan persekitaran perniagaan yang seimbang.
"Digitalisasi ini dapat dilihat dengan penggunaan medium dalam talian bagi tujuan urus niaga, mesyuarat, malah sesi pembelajaran yang dilaksanakan.
"Bagi mengurangkan sentuhan secara fizikal untuk mengekang penularan wabak, penggunaan sistem seperti QR Pay, Pay wave, dan pembayaran secara online banking juga menjadi pilihan utama masa kini yang secara tidak langsung memacu pengguna ke arah digitalisasi yang optimum.
"Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada tahun 2020 yang lalu, dan seiring dengan perubahan trend pembelian pengguna yang memfokuskan urus niaga secara dalam talian, statistik telah menunjukkan peningkatan yang signifikan terhadap aduan berkaitan transaksi dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) di ibu negara, pada Sabtu, dengan tema Digitalisasi Pengguna.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, antara langkah yang sudah diambil kerajaan bagi memperkasakan digitalisasi pengguna ialah aplikasi telefon pintar, Ez Adu dan Price Catcher yang bertujuan untuk mempelbagaikan platform penyaluran aduan pengguna sekali gus memantapkan lagi inisiatif perlindungan pengguna.
Perdana Menteri turut memaklumkan, banyak lagi inisatif dan program yang sedang dirangka bagi memperkasakan pengguna, terutama dalam aspek literasi kewangan, kuasa membeli dan ganti rugi.
Semua pihak tambahnya, perlu menghayati dan mempraktikkan hak masing-masing, baik sebagai pengguna atau peniaga, dalam menjalankan urus niaga seharian.