Hotel Paya Bunga Square dijangka beroperasi Oktober ini - MB Terengganu

Bernama
Mei 17, 2017 09:41 MYT
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (tengah) berkata sesuatu kepada Duta Croatia ke Malaysia, Kresco Glavac (kiri) sewaktu bersarapan bagi meraikan lawatan ketua-ketua perwakilan asing ke Terengganu di Pulau Duyong, 16 Mei, 2017. -- fotoBERNAMA
Hotel Paya Bunga (PB) Square yang sepatutnya beroperasi bulan lepas hanya akan memulakan operasinya pada Oktober ini berikutan penaiktarafan hotel berkenaan daripada tiga bintang kepada empat bintang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata perubahan taraf hotel kepada empat bintang itu adalah berdasarkan permintaan yang luar biasa daripada pengunjung terutama sempena Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.
"Penaiktarafan Hotel Paya Bunga Square menjadi satu daripada permasalahan teknikal tarikh operasi hotel ini dianjak.
"Pada masa sekarang, kita dalam proses melengkapkan dan menyiapkan hotel ini termasuk fasiliti dan bilik sebanyak 208 unit. Sekarang ini pun, hotel kita dalam 90 peratus siap," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke hotel berkenaan di sini pada Selasa.
Ahmad Razif berkata hotel berkenaan terpaksa dinaik taraf sebelum beroperasi bagi mengelak peningkatan kos untuk naik taraf pada masa depan.
"Jika kita naik taraf hotel ini di masa hadapan, ia akan memakan kos yang lebih tinggi jadi lebih baik kita buat bermula dari sekarang kerana ia masih belum siap sepenuhnya.
"Dalam tempoh sehingga siap ini, Paya Bunga (PB) Square akan membuat promosi pembukaan hotel ini kepada orang ramai terutama yang datang membeli-belah.
"Pengunjung yang datang pada asalnya hanya untuk lawatan harian, tetapi dengan adanya kemudahan hotel ini mereka akan bermalam... secara tidak langsung mereka akan turut berbelanja dan ia akan memberi pulangan kembali kepada rakyat," katanya.
Beliau turut menambah, kerajaan negeri tidak hanya memfokuskan kepada keuntungan semata-mata kerana projek ini akan memberi impak kepada pelbagai pihak antaranya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan membantu peniaga serta membekalkan khidmat mereka kepada hotel.
"Kita turut berhasrat menjadikan Tasik Kenyir sebagai perkhidmatan bebas cukai yang mana bukan sahaja bebas cukai tetapi juga bebas servis.
"Hotel yang ada di Tasik Kenyir kelak tidak akan ada cukai enam peratus dan ini akan menjadi satu kelainan dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri 'shopping tourism' dan 'service tourism', " katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Razif Abdul Rahman #cukai #Hotel Paya Bunga #permintaan luar biasa #Visit Beautiful Terengganu
;