Hotel larang pakai tudung: Kurang ajar - Nazri Aziz

Harits Asyraf Hasnan
November 14, 2017 15:34 MYT
Mohamed Nazri menyifatkan arahan itu sebagai tidak menghormati Malaysia dan menganggap kurang ajar. - Gambar fail Astro AWANI/Shahir Omar
Kurang ajar! Demikian reaksi awal Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung tindakan beberapa rangkaian hotel antarabangsa yang melarang pekerja wanita beragama Islam di bahagian khidmat pelanggan untuk memakai tudung.
Tegas Mohamed Nazri, tindakan syarikat rangkaian hotel antarabangsa itu dianggap tidak menghormati Malaysia sebagai negara yang majoritinya beragama Islam sekali gus melanggar Perlembagaan Persekutuan.
"Dia (hotel antarabangsa) telah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apa sahaja aktiviti tidak boleh bertentangan dengan semua ini (Perlembagaan Persekutuan).
"Sepatutnya dia (hotel antarabangsa) yang datang ke negara kita kena hormat (budaya) negara ini," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, jelas Mohamed Nazri, kementeriannya belum mendapat sebarang aduan mengenai perkara tersebut.
"Kita tidak pernah terima lagi aduan. Kementerian saya hanya beri ranking dan rating pada hotel sahaja dan tidak berdasarkan pakaian. Mungkin ini di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan atau kementerian yang berkaitan dengan isu tersebut,” jelasnya.
Nazri yang berang dengan turut menyifatkan tindakan itu adalah bertentangan dengan dasar hak asasi manusia yang selalu dilaungkan mereka.
"Saya tidak fikir syarikat antarabangsa yang mengamalkan hak asasi manusia, termaktub dalam perlembagaan syarikat mereka melarang memakai tudung.
Syarikat besar ini sememangnya syarikat yang kuat menekankan kualiti dan hak asasi manusia. Saya tidak fikir mereka kenakan syarat sedemikian dan saya tidak percaya,” katanya.
Dalam masa sama, Nazri berkata, sekiranya pihak sengaja mewujudkan larangan itu merupakan warganegara Malaysia, ia adalah kurang ajar.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa rangkaian hotel antarabangsa di negara ini telah menetapkan syarat larangan memakai tudung kepada pekerja wanita muslim di hotel mereka.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel itu atas alasan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.
#Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz #hotel antarabangsa #kurang ajar #Menteri Pelancongan dan Kebudayaan #Nazri Aziz #Perlembagaan Persekutuan #tudung
;