Hotel dua tingkat di Alor Setar musnah dalam kebakaran
Adie Sufian Zulkefli
Julai 27, 2022 09:00 MYT
Julai 27, 2022 09:00 MYT
ALOR SETAR: Sebuah hotel yang terletak di tengah Bandaraya Alor Setar musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.26 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja kemudian dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, api sedang marak membakar bangunan terbabit.
“Tindakan awal dilakukan anggota mengawal api daripada merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, api berjaya dipadamkan 20 minit kemudian.
Mohamadul Ehsan berkata, ketika kejadian tiada pengunjung yang menginap di hotel berkenaan sementara pekerja hotel sempat lari menyelamatkan diri.
Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Hotel dua tingkat ini dikatakan telah mengalami kebakaran empat kali sebelum ini namun ia hanya kebakaran kecil.